PETALING JAYA: Hari Raya Aidiladha hampir tiba, namun, sambutan tahun ini tidak sama seperti tahun sebelumnya kerana Muhammad Yasin Sulaiman tiada bersama mereka.

Demikian luahan Zain Sulaiman, 50, abang kepada penyanyi dan komposer terkenal itu yang kini berdepan beberapa pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengakui lega kerana adiknya terlepas hukuman gantung namun tanpa berselindung, Zain mengakui, keluarga mereka bersedih kerana tidak dapat beraya bersama namun tetap reda dengan apa berlaku.

[TERKINI] Yasin terlepas hukuman gantung

“Memang sesuatu yang menyedihkanlah tapi kita terima hakikat in dengan reda.

“Kita anggap ia satu ujian dan Hari Raya Haji ini pun, (ujian) sekali lagi, anak-anak dia, ibu bapa dia merayakan tanpa dia tapi Alhamdulillah, kita tetap bersyukur,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Zain juga meluahkan kesyukuran kerana adiknya terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskan Muhammad Yasin daripada pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mahkamah | Pertuduhan tanam 17 pokok ganja terhadap Yasin kekal

“Alhamdulillah. Itu memang kita syukur kepaeda Allah kerana ia perkembangan yang amat baik kerana kita memang risau 39B itu.

“Saya harapkan rakan-rakan, teman dan peminatnya mendoakan yang terbaik buat Yasin,” ujarnya.

Terdahulu, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

Begitupun, dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.