KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) masih menunggu kelulusan kerajaan bagi Pelan Regenerasi pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

"Pelan ini amat penting untuk meletakkan Malaysia sebagai negara aeroangkasa nombor satu di dunia menjelang 2030," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-22 hari ini.

Pada Jun lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan kerajaan tidak berhasrat menjual LTSAAS kepada mana-mana pihak sebaliknya menyifatkan hartanah lapangan terbang merupakan aset strategik kerajaan.

Ia juga berkata, MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga tahun 2067 ke atas tanah yang terletaknya LTSAAS buat masa ini.

MAHB sebelum itu dilaporkan memperuntukkan pelaburan RM1.3 bilion bagi membangunkan semula Lapangan Terbang Subang menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam masa 5 tahun akan datang.

Pembangunan yang bermula awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027 itu akan dimajukan oleh anak syarikat MAHB, KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB).

Mengenai prospek kumpulan, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kedudukan kumpulan masih utuh dengan memiliki kecairan yang kukuh dan tahap pinjaman yang terurus di samping mengekalkan kos pada 36.3%.

"Kumpulan melaksanakan langkah-langkah segera dalam menangani kesan daripada krisis wabak COVID-19 yang menyaksikan prestasi kumpulan stabil.

"Kami sentiasa melaksanakan pelan yang komprehensif melibatkan segenap aspek bagi mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi di samping meletakkan asas pertumbuhan masa depan kami," katanya.

Tambahnya, MAHB yakin bahawa pemulihannya dan sektor penerbangan akan diperkukuhkan dengan sokongan kerajaan.

"Kami turut menanti Perjanjian Operasi untuk dimuktamadkan yang mana masih menunggu penanda aras bagi caj aeronautikal terkawal oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)." katanya.

Di samping itu, menurutnya, kumpulan juga berharap gelembung perjalanan antarabangsa atau laluan hijau dilaksanakan tanpa kuarantin berasaskan standard perjalanan global yang dilaksanakan seeprti di Turki, Maldives, Dubai, Greece dan Switzerland.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, kumpulan bukan sahaja memberi fokus kepada meningkatkan aliran tunai ke paras sebelum pandemik tetapi turut menyediakan barisan kakitangan dan lapangan terbang dengan kecekapan operasi apabila sekatan dilonggarkan kelak.

Bagi tahun ini, katanya, kumpulan memberi fokus terhadap pemacu utama merangkumi, antaranya pengurangan kos berbanding tahun kewangan 2020, pelaksanaan projek penting dan menstabilkan penarafan kredit. 

"Kami melihat masih ada cahaya di hujung terowong dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik yang menjadikan Langkawi sebagai perintis gelembung perjalanan domestik.

"Di sebalik tahun 2020 yang mencabar, kami memberi fokus untuk menambah baik standard operasi dan kemudahan serta perancangan jangka panjang," jelasnya. 


*Berita asal di DagangNews.com