MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Bapa mangsa terpaksa lakukan pengecaman tiga kali

Jenazah Fakhrul Arif telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar pada jam 4.30 pagi tadi. - Astro AWANI
BESUT: Rosdi Yunus, bapa kepada Fakhrul Arif Rosdi, 20, salah seorang mangsa tragedi nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terpaksa menjalani proses pengecaman sebanyak tiga kali sebelum dapat mengesahkan jenazah anaknya.
Menurut Rosdi, percubaan pertama dilakukan pada Isnin, sekitar jam 12 tengah hari, menerusi gambar yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Namun, beliau tidak dapat mengenal pasti anaknya melalui percubaan berkenaan.
Usaha pengecaman kemudiannya diteruskan menerusi pakaian mangsa, tetapi sekali lagi menemui jalan buntu.Akhirnya, Rosdi terpaksa menggunakan cap jari sebagai kaedah terakhir bagi memastikan identiti anaknya, yang disahkan sebagai Fakhrul Arif.
"Kami cuba buat pengecaman melalui pakaian, tetapi tetap tidak cam. Akhirnya, kami terpaksa buat pengecaman melalui cap jari.
"Itu yang terakhir, sekitar jam 5 petang. Selepas itu, semuanya jelas dan kami boleh mandikan serta sembahyangkan jenazah," kata Rosdi dalam satu kenyataan.
Jenazah Fakhrul Arif telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar pada jam 4.30 pagi tadi.
Rosdi pada awalnya bercadang untuk membawa pulang jenazah ke kediaman mereka terlebih dahulu, tetapi terpaksa membatalkan perancangan tersebut memandangkan keadaan jenazah yang terlalu uzur.
Sebelum dikebumikan, jenazah anak keempat daripada lima beradik itu telah disembahyangkan di Masjid Hadhari Besut, bersama 12 lagi jenazah mangsa nahas yang lain.
Masjid tersebut merupakan lokasi terakhir di mana para penuntut berkumpul sebelum menaiki bas untuk pulang ke kampus, menjadikannya tempat yang bermakna sebelum mereka dikebumikan di kampung halaman masing-masing.
Nahas ini telah mencetuskan kesedihan mendalam dalam kalangan keluarga mangsa dan masyarakat setempat, dengan pihak universiti serta kerajaan mengucapkan takziah serta memberikan bantuan kepada keluarga yang terlibat
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami