[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Jenazah terakhir penuntut selamat dikebumi di Jertih

Bernama 10/06/2025 | 05:05 MYT
Jenazah pelajar UPSI Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam nahas kemalangan di Gerik awal pagi Isnin, selamat dikebumikan pada pukul 10.39 pagi. - Foto Bernama
JERTIH: Jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam nahas kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi Isnin, selamat dikebumikan pagi ini.


Ringkasan AI
  • Nurul Fatihah Abu Setaman, penuntut UPSI, merupakan mangsa terakhir kemalangan di Gerik yang dikebumikan pagi ini, selepas solat jenazah bersama rakan-rakan yang turut terkorban dalam tragedi tersebut.
  • Ketua UPSI dan pihak universiti awam lain menghargai usaha semua pihak dalam pengurusan jenazah, termasuk polis, JPJ dan UniSZA, yang memberi sokongan kepada pelajar UPSI dalam menghadapi krisis ini.
  • Kemalangan tragis yang berlaku awal pagi Isnin mengorbankan 15 penuntut UPSI dan mencederakan 33 lagi orang, termasuk pemandu dan penumpang bas serta Perodua Alza.


Nurul Fatihah, 22, merupakan mangsa terakhir dikebumikan pada 10.39 pagi tadi, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek di sini.

Terdahulu, jenazah mahasiswa tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) itu disolatkan buat kali kedua di kediamannya di Kampung Gong Duek 10 pagi tadi, selepas solat jenazah pertama bersama 12 jenazah rakan universitinya, dilakukan di Masjid Hadhari di sini, pada 2.55 pagi tadi.

Abu Setaman Jusoh, 54, mengusung jenazah anaknya, merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam nahas kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi Isnin. - Foto Bernama


Allahyarham yang meninggal di tempat kejadian awal pagi semalam merupakan anak ke empat daripada enam merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jertih di sini.

[TERKINI] Kemalangan bas UPSI: Ini apa yang kita tahu setakat ini

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat pengurusan jenazah kesemua penuntut terlibat, dari lokasi kejadian kemalangan sehingga selamat tiba ke kampung halaman masing-masing, khususnya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Juga terima kasih kepada semua pihak universiti awam yang terlibat seperti UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) yang menyediakan penginapan kepada 160 pelajar UPSI yang datang ke Terengganu bagi memberi penghormatan terakhir kepada rakan-rakan mereka.

"Ini membuktikan semangat kesepakatan dan kebersamaan antara universiti awam dalam menghadapi krisis besar seperti ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pengebumian Nurul Fatihah di sini.

Rakan-rakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam nahas kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi Isnin. - Foto Bernama


Dalam pada itu, UPSI menerusi hantaran di laman Facebook rasminya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melancarkan urusan berkaitan.

"Sama-sama kita terus mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," menurut hantaran itu.

Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-- BERNAMA






#jenazah terakhir #kemalangan bas UPSI #selamat dikebumikan #terkini