MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: KPT hulur bantuan awal

Bernama 09/06/2025 | 07:35 MYT
Zambry menjawab pertanyaan media selepas hadir meninjau perkembangan kemalangan maut melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pagi tadi. - Foto Bernama
IPOH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan awal RM2,000 dan bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa terlibat dalam tragedi bas persiaran terlibat kemalangan yang meragut 15 nyawa di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Bantuan kewangan kepada keluarga mangsa: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan bantuan RM2,000 untuk urusan pengebumian dan RM1,000 sebagai bantuan bencana kepada waris mangsa kemalangan bas UPSI.
  • Kerjasama antara pelbagai pihak: UPSI diberi tanggungjawab menguruskan bantuan, dengan sokongan daripada KPT, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dalam memastikan keperluan asas mangsa dan waris dipenuhi.
  • Sumbangan tambahan dari kerajaan negeri Perak:Kerajaan Perak turut mengumumkan bantuan RM1,000 kepada waris mangsa untuk membantu mereka dalam proses pengecaman jenazah, serta menyediakan khemah dan makanan untuk kemudahan waris serta petugas.


Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata bantuan awal itu bertujuan meringankan beban waris, termasuk dalam melaksanakan urusan pengebumian jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam insiden tersebut.

"Pihak UPSI telahpun mengumumkan bantuan-bantuan segera, ini termasuk daripada pihak KPT iaitu setiap mangsa yang terlibat, bagi keluarga mereka menguruskan jenazah...Bantuan RM2,000...manakala UPSI akan mengeluarkan RM1,000," katanya.

[TERKINI] Kemalangan bas UPSI: Ini apa yang kita tahu setakat ini…

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Md Amin Md Taff.

Zambry berkata kesemua bantuan itu dipertanggungjawabkan kepada UPSI untuk diuruskan.

Beliau berkata KPT, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan saling berhubung untuk memastikan supaya langkah pantas dapat diambil bagi membantu mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat.

"Di peringkat ini, segala keperluan asas khususnya bagi menguruskan jenazah telah disediakan termasuk penyediaan van untuk menghantar jenazah ke destinasi masing-masing.

"Bantuan lain seperti untuk memastikan keluarga terlibat di kawasan ini (HRPB) termasuk Hospital Gerik, telahpun kita ambil dan ini termasuk menyediakan bantuan-bantuan yang mereka perlukan," katanya.

Beliau berkata 13 jenazah telah tiba di Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi di Hospital Gerik.

Zambry seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan itu.

Sementara itu di IPOH, kerajaan negeri Perak turut mengumumkan sumbangan bantuan awal berjumlah RM1,000 kepada waris setiap mangsa kemalangan tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan itu bagi meringankan beban waris mangsa yang terpaksa datang ke sini bagi tujuan proses pengecaman dan menuntut jenazah.

"Kita tahu mereka bukan semua datang dari keluarga yang senang, sekurang-kurangnya dapatlah mereka mencari tempat jika perlu menginap dan ada sedikit wang jika perlu berbelanja," katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik HRPB di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia membantu dalam menguruskan perkara-perkara lain bagi memudahkan urusan waris, termasuk menyediakan khemah untuk waris berteduh dan makanan untuk petugas.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyumbangkan khemah untuk membolehkan orang ramai berteduh dan juga makanan bungkus disediakan untuk waris dan juga anggota forensik yang bertungkus lumus daripada pagi sampai malam," katanya.

-- BERNAMA



#kemalangan bas UPSI #Zambry Abd Kadir #Kementerian Pendidikan Tinggi #Fadhlina Sidek #terkini