MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Mangsa nahas alami cacat kekal - Noraini

Noraini (kiri) meluangkan masa menziarahi Nur Ain Najwa di PPR Kampung Gong Kemuntong, Besut pada Rabu.
BESUT: Beberapa mangsa nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu dikenal pasti mengalami kecederaan serius yang mengakibatkan kecacatan kekal.
Ringkasan AI
- Beberapa mangsa nahas bas di Gerik mengalami kecederaan serius yang menyebabkan kecacatan kekal seperti patah kaki dan kehilangan anggota badan.
- Kementerian sedang menjalankan siasatan untuk menentukan bentuk bantuan susulan yang sesuai, termasuk bantuan kewangan dan sokongan psikologi.
- Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memastikan semua mangsa menerima bantuan, dan perkhidmatan kaunseling bergerak turut disediakan bagi mereka yang memerlukan.
Katanya, kesemua kes yang membabitkan kecacatan kekal akan melalui proses siasatan dan penilaian sebelum bantuan susulan disalurkan.
"Dari segi jumlah mangsa yang alami kecacatan kekal akibat insiden ini masih dalam siasatan kerana ada mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk di Perak dan Terengganu,
"Jadi biarlah mereka stabil dahulu sebelum kita jalankan proses lanjut kerana proses ini kita perlu lakukan secara berhemah," katanya ketika ditemui selepas menziarahi mangsa tragedi, Nur Ain Najwa Mohd llias, 23, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Gong Kemuntong, di sini pada Rabu.
Noraini berkata, mesyuarat pasca Kabinet Kementerian turut memutuskan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang dan melakukan siasatan ke atas semua mangsa untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
"Kita tidak mahu mereka yang mengalami kecederaan kekal ini terbeban dari sudut kewangan dan emosi.
"Tanggungjawab kita adalah untuk hadir membantu mereka sebaik mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu, Noraini turut memaklumkan pihak kementerian turut menyalurkan bantuan Pelindungan Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat (Peka) dalam bentuk wang tunai di samping khidmat kaunseling psikologi oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak.
"Khidmat ini boleh bergerak ke mana-mana kalau sekiranya perlukan bantuan mereka boleh datang (ke lokasi mangsa)," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas yang membawa 42 penumpang terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna berhampiran Tasik Banding, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Seramai 15 mangsa terkorban dalam nahas tersebut manakala 33 lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Terdapat lagi beberapa mangsa masih dirawat di hospital. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami