MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Mangsa Perodua Alza masih trauma, lawatan dihadkan - Exco Kedah

Sinar Harian 15/06/2025 | 11:00 MYT
Perodua Alza yang dipandu Mohd Lutfi terbabas ke dalam longkang selepas dirempuh bas dalam kejadian pada 9 Jun lalu. - Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Mangsa kemalangan membabitkan Perodua Alza dan bas yang dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masih berada di bawah pemerhatian pakar di Hospital Baling.


Ringkasan AI
  • Mangsa kemalangan masih dirawat: Pasangan suami isteri dan dua anak mereka yang terlibat dalam kemalangan tragis bersama bas UPSI masih dirawat di Hospital Baling; lawatan pelawat tidak digalakkan bagi mengelakkan tekanan emosi berlebihan.
  • Kemalangan Aidiladha: Perodua Alza yang dipandu Mohd Lutfi dirempuh bas di JRTB, Gerik, menyebabkan 15 pelajar UPSI maut dan ramai cedera; isteri dan anak sulung beliau mengalami kecederaan serius.
  • Inisiatif kebersihan komuniti: Exco Kesihatan Kedah turut menyertai gotong-royong di Flat Paya Nahu untuk memupuk kebersihan berterusan dan membasmi tempat pembiakan nyamuk demi kesejahteraan penduduk.


Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak menggalakkan pasangan suami isteri, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan Nurul Ain Zakaria, 36, serta dua anak mereka menerima kunjungan tetamu.

"Ada kawalan, (jika tidak) pesakit perlu melayan dan menjawab soalan yang sama, boleh menyebabkan lebih trauma.

"Saya tak menggalakkan lagi untuk menerima pelawat, biar mereka stabil, hilang trauma itu," jelasnya.

Beliau ditemui ketika menghadiri program gotong-royong di Flat Paya Nahu di sini pada Ahad.

Dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, pada hari ketiga Aidiladha lalu, Perodua Alza yang dipandu Mohd Lutfi terbabas ke dalam longkang di sebelah kanan bahu jalan selepas dirempuh bas.

Kejadian tragis itu turut menyebabkan bas tersebut terbalik hingga mengorbankan 15 penuntut UPSI yang sedang dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus mereka di Tanjung Malim.

Mohd Lutfi dan anak bongsu mereka, Muhammad Ahsan Nafis, 2, telah dibenarkan pulang namun masih berada di wad bagi menemani Nurul Ain yang mengalami patah tulang rusuk, manakala anak sulung mereka, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, mengalami patah kaki kanan.

Dalam perkembangan berasingan, Mansor berkata, gotong-royong di Flat Paya Nahu dilaksanakan bagi menggalakkan amalan kebersihan berterusan, memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa.

"Harap flat ini akan disukai orang ramai, penduduk sini akan cinta flat mereka sendiri, bersih, beri kerjasama gotong-royong... akhirnya mereka seronok.

"Ketika ini sampah merata-rata, kelemahan banyak, premis rosak, sampah di luar dan dalam bangunan pun banyak. Bila kita buat program ini, diharap dapat beri manfaat kepada penduduk," jelasnya. -- Sinar Harian



#kemalangan bas UPSI #pemandu Alza #Hospital Banting #masih trauma