MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: MPP UUM kumpul hampir RM300,000 bantu waris, mangsa nahas

Bernama 14/06/2025 | 07:49 MYT
MPP UUM berjaya mengumpul RM290,651 hasil sumbangan daripada 18,927 penyumbang untuk disalurkan kepada waris dan penuntut UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Gerik pada 9 Jun. -Facebook MPP UUM
ALOR SETAR: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) berjaya mengumpul sebanyak RM290,651 untuk disumbangkan kepada waris dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, 9 Jun lepas.


Ringkasan AI
  • MPP UUM berjaya mengumpul RM290,651 hasil sumbangan daripada 18,927 penyumbang untuk disalurkan kepada waris dan penuntut UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Gerik pada 9 Jun.
  • Sumbangan ini mencerminkan semangat solidariti luar biasa rakyat Malaysia dalam menghadapi saat duka dan mencabar.
  • Penyerahan rasmi sumbangan akan diumumkan kemudian mengikut proses kewangan dan tatacara saluran yang ditetapkan.


MPP UUM dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan jumlah itu hasil sumbangan daripada 18,927 penyumbang yang mencerminkan semangat kebersamaan cukup luar biasa dalam saat duka dan mencabar.


"MPP UUM merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas solidariti yang luar biasa dan keprihatinan yang dizahirkan.

"Penyerahan rasmi sumbangan ini akan diumumkan dalam hebahan yang akan dimaklumkan kemudian mengikut proses kewangan dan tatacara saluran yang telah ditetapkan.

"Terima kasih atas sokongan anda semua dan semoga segala kebaikan ini menjadi asbab keberkatan buat kita," menurut kenyataan itu.

Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA




#MPP UUM #universiti utara malaysia #kemalangan bas UPSI #Universiti Pendidikan Sultan Idris #Jalan Raya Timur-Barat di Gerik