MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Permit, lesen pengendali bas dibatal serta-merta - MOT

Keadaan semasa di kawasan kejadian kemalangan maut melibatkan sekurang-kurangnya 15 pelajar UPSI di Jalan Raya Timur-Barat Banun, Gerik, awal pagi Isnin. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membatalkan serta-merta lesen pengendali dan semua permit kenderaan milik sebuah syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan tegas ini diambil selepas siasatan mendapati pemegang lesen telah melanggar syarat permit dengan memajakkan lesen kenderaan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran, serta gagal memastikan sistem GPS kenderaan berfungsi.
Jelas Loke, pengendali terbabit yang beralamat di Kedah itu telah memajakkan permit kepada individu dari Kelantan dengan bayaran RM500 sebulan.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
"Daripada siasatan kita pemegang permit bas tersebut yang merupakan sebuah bas persiaran dan dia ada dua pemit. Satu pemit lesen daripada Kementerian Pelancongan untuk mengendalikan bas persiaran, yang keduanya permit kenderaan tersebut daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat.
"Pemilik permit tersebut sebenarnya tidak mengoperasikan bas tersebut. Daripada siasatan kita mendapati bahawa pemilik ini telah memajakkan permit tu kepada pihak ketiga iaitu satu pihak lain dari Kelantan.
"Kita hanya dapati perjanjian itu tu antara dua pihak ini hasil daripada siasatan kita. ini telah melanggar syarat permit kenderaan dan kita juga dapati bahawa apabila diminta untuk mereka menyerahkan laporan GPS kenderaan tersebut, dia tidak dapat menyerahkan laporan tersebut kerana GPS tidak diaktifkan.
"Jadi, ini dua syarat besar yang mereka telah langgar dan saya telah meminta APAD, selepas surat tunjuk sebab tamat tempoh, pemit untuk syarikat ini akan ditarik balik dan dibatalkan serta merta lesen," ujarnya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Dalam kejadian pada awal pagi Isnin, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan.
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu, dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta pelbagai jenis Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik.
Pemandu bas mengalami kecederaan tangan, manakala pemandu dan penumpang Perodua Alza cedera ringan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami