[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Pihak berwajib perlu kenal pasti dan terima kelemahan - Sultan Nazrin

Ernalisa Othman 09/06/2025 | 10:47 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melawat keluarga mangsa kemalangan ngeri yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Semua pihak berwajib harus mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk melakukan penambahbaikan terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan susulan kemalangan maut yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Idris (UPSI) awal pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Seruan untuk tindakan penambahbaikan: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menekankan keperluan memperbaiki penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan tragedi seperti kemalangan maut pelajar UPSI berulang.
  • Ucapan takziah dan penghormatan terakhir: Baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan mengingatkan semua pihak agar mengambil iktibar daripada kejadian ini.
  • Proses pengebumian mangsa: Dua jenazah dibedah siasat di Hospital Gerik akan dibawa pulang lebih awal ke Besut, sementara 13 lagi jenazah yang menjalani bedah siasat di HRPB Ipoh akan dihantar serentak ke kampung halaman masing-masing selepas selesai proses tersebut.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam kenyataan bertitah sedemikian susulan daripada kekerapan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan baginda mahu semua pihak mengambil iktibar daripadanya.
"Langkah preventif boleh dan perlu dilakukan segera.
"Semua pihak wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran," titah baginda.
Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang kehilangan anak dan keluarga dalam insiden berkenaan.
Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memberitahu, dua jenazah dibedah siasat di Hospital Grik akan dibawa pulang lebih awal ke Besut Terengganu .
Manakala 13 lagi jenazah mangsa nahas kemalangan itu yang menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akan dibawa serentak ke kampung halaman masing-masing sebaik selesai proses bedah siasat dilakukan.
Sekurang-kurangnya 15 maut dalam nahas melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan, dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik awal di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Gerik–Jeli), awal pagi tadi.
#kemalangan bas UPSI #Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #pihak berwajib