[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Pihak polis sahkan terima rakaman berkaitan nahas

Astro Awani 09/06/2025 | 13:29 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata rakaman itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat. - Bernama
IPOH: Polis mengesahkan pihaknya telah menerima satu rakaman video dari kamera papan pemuka berkaitan nahas bas yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), di Gerik, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata rakaman itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Pegawai saya akan merekod keterangan pemilik video berkenaan dan ia akan digunakan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis akan teruskan dengan rakam keterangan pemilik rakaman berkenaan. Memang benar dalam rakaman itu kita dapati bas itu meluncur laju, dan lebih memburukkan lagi keadaan, penghadang jalan menembusi bas itu dari depan.

“Penumpang di bahagian kiri bas yang terlibat secara terus kerana penghadang mengenai kiri bas, yang cedera juga banyak yang sakit di bahu kiri kerana terlepas dari tempat duduk kanan ke kiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, tular satu video papan pemuka pemandu kenderaan yang berada di tempat kejadian memaparkan bas tersebut cuba memotong kenderaan tersebut sebelum terbabas ke kiri jalan.

#rakaman video #kemalangan bas #pelajar UPSI #polis