MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: 'Ramai pelajar berlumuran darah, ada berdiri, terbaring tepi jalan'
Mangsa yang dikeluarkan dari bas dalam keadaan cedera. - Foto ihsan JBPM
KOTA BHARU: Seorang pengguna jalan raya berkongsi detik menyayat hati apabila menyaksikan mangsa nahas bas yang melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan.
Ringkasan AI
- Saksi menceritakan kejadian tragis: Seorang pengguna jalan raya berkongsi detik memilukan apabila melihat mangsa kemalangan bas UPSI berlumuran darah dan tidak bermaya di tepi jalan.
- Kemalangan meragut banyak nyawa: Bas yang membawa lebih 40 pelajar dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik, mengakibatkan 15 mangsa maut dan puluhan lagi cedera dalam kejadian awal pagi di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik.
- Usaha menyelamat dan siasatan diteruskan: Pasukan penyelamat termasuk JBPM, polis, dan agensi lain bertindak pantas, sementara pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan serta mengenal pasti identiti mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, seramai 15 mangsa disahkan maut, manakala puluhan lagi cedera selepas bas yang dinaiki dipercayai hilang kawalan lalu terbalik.
Rosmaizul Mustapha, yang melalui lokasi tidak lama selepas kejadian, berkata pemandangan di tempat kejadian sangat memilukan apabila melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya.
“Saya lalu sekitar 1.30 pagi. Di sebelah kiri, pelajar-pelajar berlumuran darah – ada yang duduk, berdiri, dan terbaring.
“Di sebelah kanan pula saya nampak ada yang sedang duduk memangku anak kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Difahamkan, bas yang membawa lebih 40 pelajar itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke UPSI sebelum terbabas dan terbalik di lokasi kejadian.
Usaha menyelamat melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan beberapa agensi lain dijalankan sejurus menerima panggilan kecemasan.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta mengesahkan identiti semua mangsa yang terlibat.
Setakat ini, 15 individu dilaporkan maut dalam kemalangan yang membabitkan keseluruhan 48 mangsa. -- Sinar Harian