MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Siasatan fokus aspek kecuaian, teknikal - Ketua Polis Perak

Azyyati Ahmad 09/06/2025 | 04:00 MYT
Noor Hisam bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik berkaitan kemalangan maut melibatkan sebuah bas dengan sebuah MPV di KM 53 JRTB Jeli-Gerik di sini. - Foto Bernama
GERIK: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap punca nahas tragik membabitkan sebuah bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi, yang telah meragut 15 nyawa.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, fokus siasatan tertumpu kepada kemungkinan kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan.

“Kita akan melihat dari semua aspek - sama ada kecuaian manusia atau kerosakan teknikal. Kita juga akan semak rekod-rekod terdahulu kenderaan terbabit,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Keadaan jalan agak berliku dan menurun - Polis

Tambah beliau, keadaan jalan ketika kejadian adalah kering namun berliku dan pihaknya masih menunggu masa sesuai untuk merakam keterangan pemandu bas yang cedera di tangan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan sedang menghala ke arah Gerik, sebelum bas berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Alza dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu.

Noor Hisam berkata, bas tersebut membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim. Serta seorang pemandu lelaki berusia 40 tahun dan kelindan berusia 54 tahun.

Sementara Perodua Alza pula membawa sepasang suami isteri bersama dua anak mereka dan tiga tahun.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Sebanyak tujuh mangsa dirawat di zon merah, 20 di zon kuning, dan enam di zon hijau.

“Siasatan ini penting untuk memberi keadilan kepada semua mangsa dan waris. Kita tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap,” tegas Noor Hisam.




#kemalangan bas UPSI #15 pelajar UPSI maut #UPSI Berduka #Jalan Raya Timur Barat