MALAYSIA

Kemalangan bas UPSI: Tidak sanggup lihat video detik nahas - Bapa mangsa

Bernama 10/06/2025 | 09:08 MYT
Abu Setaman Jusoh menyiram air mawar pada pusara anaknya, merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban. - Foto Bernama
JERTIH: Bapa kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), belum mampu untuk melihat video berkaitan nahas itu.


Ringkasan AI
  • Bapa kepada Nurul Fatihah Abu Setaman belum mampu melihat video nahas kerana bimbang akan mempengaruhi emosinya, namun tetap tabah sepanjang urusan pengebumian anaknya.
  • Keluarga masih menunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat bas, bagi menentukan punca kemalangan sama ada kecuaian pemandu, masalah teknikal atau faktor lain.
  • Nurul Fatihah bercita-cita menjadi guru sejak kecil, namun hayatnya terhenti akibat kemalangan tragis yang mengorbankan 15 penuntut UPSI serta mencederakan 33 yang lain.


Abu Setaman Jusoh, 54, yang kelihatan tabah sepanjang urusan pengebumian anak keempat daripada enam beradik itu, tidak mahu perkara itu mengganggu emosinya kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan.

"Saya sendiri belum lagi menonton rakaman video kemalangan, termasuk detik sebelum bas berkenaan terbalik seperti yang tular di media sosial kerana tidak sampai hati dan hiba," katanya kepada pemberita selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Gong Duek, di sini

Bekas petugas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu berkata sebagai ketua keluarga beliau perlu kuat demi isteri dan anak-anak yang lain.

Ditanya sama ada pihak keluarga akan mengambil tindakan terhadap syarikat bas terbabit, Abu Setaman berkata beliau akan melihat hasil siasatan pihak berkuasa terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Biar pihak berkuasa siasat kes kemalangan itu terlebih dahulu sama ada ia berpunca daripada kecuaian pemandu, masalah teknikal atau masalah lain," katanya.

Menceritakan peribadi Allahyarhamah Nurul Fatihah, 22, beliau berkata anak perempuannya itu bercita-cita mahu menjadi guru sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Saya nampak memang ada ciri-ciri seorang guru dalam diri dia," katanya.

Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik dalam nahas dengan kenderaan jenis Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-- BERNAMA



#kemalangan bas UPSI #bapa mangsa #video nahas #pengebumian anak #terkini