AMPANG: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan nahas penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale telah dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penelitian lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tiada tangkapan setakat ini bagi kes terbabit.

"Rakaman CCTV di lokasi kejadian telah diteliti dan telah dihantar ke makmal forensik PDRM untuk kajian.

"Bedah siasat mangsa juga telah selesai dijalankan di Hospital Ampang pada Khamis dan jenazah telah diserah kepada waris. Sebab kematian mangsa adalah 'multiple injuries due to road traffic crash'," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mengetahui kejadian dan saksi untuk tampil salurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada Rabu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, mangsa yang melalui jalan berselekoh di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa bagaimanapun telah melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikal yang ditunggangnya telah terseret ke tengah jalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348.