Kemalangan melibatkan bas ekspres menjunam ke dalam gaung di Genting Highlands seperti hari ini akan terus berlaku sekiranya pengusaha bas dan pemandu tidak mengamalkan budaya keselamatan jalan raya.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata sudah tiba masanya senario ini dihentikan.

"Siasat, kaji dan lapor tabiat (pemandu) selepas setiap kali berlaku kemalangan ... agar ia menjadi pengajaran," katanya.

"Janganlah kita bercakap sahaja mengenai keselamatan," katanya kepada Bernama di sini malam ini, ketika diminta mengulas mengenai kemalangan bas Genting Higlands.

Sehingga 10 malam ini, seramai 37 orang disahkan terkorban dalam nahas bas ekspres yang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands petang tadi.

Kemalangan berlaku ketika bas yang membawa 53 penumpang itu menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Lee berkata kejadian nahas bas ekspres seumpama itu, boleh dielakkan, namun tragedi yang berlaku nampaknya, tiada berkesudahan.

"Ia bukan disebabkan faktor kemanusiaan atau kerosakan mekanikal. Ini bukan kali pertama bas jatuh ke dalam gaung.

"Kita seolah-olah tidak belajar daripada kesilapan lalu," katanya.