Kemalangan tiga lori: Lebuh raya PLUS sesak lebih tujuh kilometer

Abd Razak Mohd Ali
Januari 18, 2020 05:07 MYT
Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.40 pagi di Kilometer 257 membabitkan treler membawa kereta, lori tangki dan lori kontena. - Foto JBPM
Laluan arah utara di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora sesak teruk lebih 7 kilometer ekoran kemalangan melibatkan tiga lori pagi ini.

Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.40 pagi di Kilometer 257 membabitkan treler membawa kereta, lori tangki dan lori kontena.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, kemalangan telah menyebabkan lorong kiri lebuh raya terbabit terhalang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam Twitter rasminya memaklumkan, setakat jam 10.18 pagi lorong kiri masih terhalang berikutan kerja-kerja pengalihan dijalankan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, salah seorang kanak-kanak yang menaiki treler membawa kereta turut mengalami kecederaan.

Pemandu dan tiga lagi penumpang treler serta pemandu lori tangki dan kontena, tidak mengalami kecederaan.
“Anggota membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera, kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kanak-kanak #kemalangan #Kuala Kangsar #Lebuhraya PLUS #LLM #Malaysia #PLUS #polis #sesak teruk #Terowong Menora