MALAYSIA
Kemalangan Tol Kajang: Bayi maut tercampak kerana tidak guna kerusi kanak-kanak - Loke

Loke berkata, maklumat itu hasil daripada laporan dan siasatan awal polis susulan nahas membabitkan lori muatan lusuh dengan empat kenderaan lain. - Gambar Astro AWANI
GOMBAK: Bayi lelaki berusia setahun yang maut akibat tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu didapati tidak diletakkan di dalam kerusi kanak-kanak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, maklumat itu hasil daripada laporan dan siasatan awal polis susulan nahas membabitkan lori muatan barangan lusuh dengan empat kenderaan lain.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, pada Isnin.
Loke berkata, kerusi kanak-kanak adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang bagi anak kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, penyelenggaraan kenderaan berat juga tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang dilakukan setiap enam bulan.
“Lori terbabit ada permit sah, rekod Puspakom masih valid, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan. Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini jelas brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” ujarnya.
Loke menambah, syarikat lori berkenaan hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun kejadian itu cukup untuk memberi peringatan kepada semua pengusaha pengangkutan agar memastikan kenderaan dalam keadaan selamat.
“Pemandu lori itu sendiri dilaporkan terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi. Polis masih meneruskan siasatan penuh, tetapi bukti awal termasuk rakaman video sudah menunjukkan kegagalan sistem brek,” katanya.
Loke berkata, kementerian menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis, termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori terbabit.
“Namun apa yang pasti, bayi tersebut tercampak keluar kerana tiada child seat dan meninggal dunia,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami