KUBANG PASU : Empat lelaki dikompaun RM4,000 setiap seorang selepas ditahan ketika sedang leka bermain judi di bawah pondok kayu dalam kawasan kebun getah berhampiran Taman Bersatu, dekat Kubang Pasu, petang Sabtu.

Kesemua mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, ketika serbuan dilakukan jam 5.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, ada antara mereka yang terkejut lalu cuba melarikan diri.

Bagaimanapun kesemua empat lelaki berusia 33 hingga 60 tahun itu berjaya ditahan.

“Kawasan itu disyaki dijadikan ‘port’ baharu untuk berjudi selepas tempat tumpuan berjudi di kebun getah Kampung Naga diserbu baru-baru ini.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua mereka mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripadanya berusia 46 tahun mempunyai empat rekod kesalahan jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, menerusi serbuan itu pihaknya merampas sebuah meja kayu, lima buah kerusi plastik, satu cawan seramik berwarna putih, satu piring kecil warna putih, tiga biji buah dadu, kertas alas kain kanvas tercetak angka 1 hingga 6 dan sejumlah wang tunai berjumlah RM2,755.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2)Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP)(Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.4) 2021 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standart (SOP).