KUALA LUMPUR : Seperti yang diramalkan, jumlah kes harian COVID-19 terus menyaksikan peningkatan dengan 10,089 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Angka terbaharu yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara kini sebanyak 2,914,220.

Menurut Dr Noor Hisham, kadar kematian dalam negara turut merekodkan pertambahan sebanyak 14 kes setakat semalam.

Angka itu juga menjadikan jumlah keseluruhan bagi kes kematian di negara ini sebanyak 32,025.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 10,089 jangkitan baharu itu, sebahagian besarnya melibatkan pesakit Kategori 1 dan 2 dengan 10,012 kes atau bersamaan 99.2 peratus manakala, baki 77 kes merupakan pesakit Kategori 3,4, dan 5.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan 137 pesakit dan daripada jumlah itu, 71 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Malaysia turut merekodkan jumlah kes sembuh sebanyak 6,460 dengan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 2,812,614.