Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) diminta segera mengemas kini buku akaun dan maklumat terkini masing-masing bagi memudahkan urusan penghantaran surat tawaran menunaikan haji tahun depan.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata surat tawaran akan dihantar mulai Disember ini dan diagihkan secara berperingkat, justeru maklumat seperti alamat dan nombor telefon terkini amat diperlukan supaya tidak menghadapi sebarang masalah pada saat-saat akhir.

"Apabila hujung-hujung baru kelam-kabut nak tahu dapat pergi ke tidak pergi. Lazimnya sebulan atau seminggu sebelum tutup tarikh haji inilah ramai orang serbu ke cawangan kami.

"Jadi saya tidak mahu perkara ini berulang lagi. Saya berharap seawal bulan Disember ini mereka boleh mula mengemas kini," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir 279 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

Penerbangan terakhir menggunakan pesawat MH8277 itu berlepas dari Lapangan Terbang Prince Mohammed, Madinah dan tiba pada 5.40 pagi.

Jemaah haji negara kembali ke tanah air pada 10 Okt lepas secara berperingkat, dan kumpulan pertama sebanyak 444 orang tiba di KLIA pada tarikh berkenaan.

Abdul Azeez berkata 27 jemaah haji Malaysia meningggal dunia pada musim haji kali ini akibat pelbagai penyakit dan bukan disebabkan penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) dan Ebola.

"Enam jemaah meninggal dunia sebelum wukuf dan dibuatkan haji badal manakala yang lain meninggal dunia selepas itu, namun dapat melaksanakan ibadah mereka. Kita juga sudah menziarahi anggota keluarga jemaah haji yang meninggal dunia," kata beliau.

Menurutnya tiga jemaah haji masih dirawat di hospital di Mekah dan TH akan menguruskan penerbangan balik mereka ke tanah air selepas disahkan sihat untuk dibawa pulang.

Abdul Azeez berkata TH mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi serta seluruh pihak bagi memastikan keseluruhan 22,320 jemaah haji yang melaksanakan haji tahun ini berjalan lancar.

"Kami juga berjanji akan meneliti semua laporan atau teguran termasuk daripada jemaah sendiri untuk menambah baik dan memastikan operasi haji kita untuk tahun akan datang berjalan lancar," katanya.

Sementara itu kakitangan kerajaan, Azmal Aspari Anwar, 29, berkata beliau bertuah kerana berpeluang mengerjakan haji pada usia muda dalam keadaan yang masih bertenaga.

"Saya daftar pada 2007 dan mendapat tawaran kali pertama pada 2011. Namun terpaksa menolak kerana kakak saya, Novaria, 33, yang sama mendaftar untuk menunaikan haji menyambung pelajaran ketika itu. Akhirnya dapat panggilan kedua pada tahun ini," katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Meriam Ngah pula berkata hasrat menunaikan haji akhirnya tercapai pada usia 73 tahun selepas mengumpul wang sekian lama, memandangkan beliau hanya bekerja kampung.

Beliau yang berasal dari Kelantan menunaikan haji dalam keadaan sihat bersama suami, anak perempuan dan menantu.