PUTRAJAYA: Semua permohonan kemasukan ke 1,334 institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara akan dibuat melalui satu saluran sahaja mulai 30 Oktober ini, iaitu portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memastikan penyelarasan permohonan, sekali gus mengelakkan pertindihan.

"Permohonan ini bagi memasuki 1,334 institusi TVET seluruh negara berdasarkan pilihan peserta, iaitu kursus yang mereka minati dan nama institusi TVET.

"Ini bagi mengelakkan daripada pertindihan yang berlaku daripada permohonan dan juga kita lihat dari segi minat mereka, di samping mengelakkan 'mismatch' dalam kursus-kursus yang dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Majlis Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) Negara, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zahid juga memaklumkan Jawatankuasa Kabinet Majlis Pendikan TVET Negara memutuskan agar kursus-kursus yang ditawarkan di institusi TVET perlu berasaskan teknologi tinggi dan tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, ujar beliau, institusi berkenaan disaran menawarkan kursus melibatkan permintaan pasaran guna tenaga terutamanya daripada pelabur-pelabur asing.

"Ini dibuat supaya pihak pelabur itu memperoleh pekerja-pekerja mahir yang terlatih supaya terus dapat diserapkan ke syarikat-syarikat berkenan, dan di samping itu juga, kita menterjemahkan apa yang disaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bukan sahaja dari segi tenaga yang diperbaharui, malah pelan strategi perindustrian di mana kita menterjemahkan kedua-dua bidang ini memberikan kira-kira 3.5 juta peluang pekerjaan baharu dari sekarang hingga 2030," tambahnya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, beliau turut mengarahkan Sekretariat TVET Negara menyediakan satu pelan 'road map' bagi menterjemahkan Dasar TVET Negara 1.0 hingga tahun 2030, sebelum meneruskan kepada Dasar TVET Negara 2.0 hingga tahun 2050.

"Kita harus keluar daripada kepompong latihan-latihan konvensional TVET dan kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan dan usahawan melalui kursus-kursus TVET. Maka penyelerasan sangat penting disebabkan kebolehpasaran telah meningkat cukup tinggi melebihi 92 peratus.

"Manakala, kira-kira 7.5 peratus adalah (individu) yang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah atau lebih tinggi dan profesional," katanya.

Justeru, beliau berpandangan perkembangan itu menunjukkan TVET harus dijadikan sebagai pilihan utama, selain daripada peningkatan dalam bidang akademik bukan TVET.