KUALA LUMPUR: Jumlah kemasukkan pelancong asing ke negara ini sejak pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya 1 April lalu, memberangsangkan dan akan terus meningkat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri, berkata walaupun masih awal namun beliau percaya jumlah itu mampu ditingkatkan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Saya percaya pada hari ini (kemasukkan pelancong asing) sudah menjangkau hampir 300,000. Setakat ini belum ada kesahihan dari segi angka itu tapi kita percaya angka ini boleh ditingkatkan... tapi kita tunggulah dalam masa dua tiga bulan ini,” katanya.

Pada masa sama katanya, Malaysia juga berharap negara-negara yang masih lagi mengenakan sekatan sempadan agar mengikut jejak langkah Malaysia untuk merancakkan lagi sektor pelancongan.

Ini katanya akan memberikan kesan yang positif kepada Malaysia dan juga negara-negara terbabit.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Iftar @KL 2022 di Dataran Merdeka di sini, petang tadi. Program itu berlangsung selama dua hari bermula 16 April dengan menawarkan pelbagai juadah dan aktiviti menarik kepada pengunjung.

Mengenai Majlis Iftar @KL 2022, katanya ia boleh menjadi kayu ukur kepada kehadiran pelancong asing dan keberadaan mereka di negara ini.

Walaupun mengakui sebahagian mereka masih bimbang terhadap ancaman COVID-19, namun ia adalah permulaan yang baik bagi Malaysia mengetengahkan budaya yang unik kepada pelancong.

Setakat ini katanya lebih 8,000 ribu pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri program tersebut. Katanya, kementerian menyasarkan 30,000 kedatangan pengunjung pada penganjuran program edisi ke-10 itu, selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan kerana COVID-19.

“Jumlah 8,000 itu memadai dan menunjukkan masih ada minat untuk orang turut serta, cuma mungkin kebimbangan mereka disebabkan pandemik itu masih ada.

“Tapi kita bersyukur kerana ini adalah permulaan yang baik selepas pandemik ini, jadi kita menggunakan ini sebagai kayu pengukur untuk melihat bagaimana sambutan orang ramai terhadap aktiviti keramaian seperti ini,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama juga, katanya MOTAC bersedia memperluaskan program tersebut ke negeri-negeri lain seandainya terdapat permintaan daripada kerajaan negeri.