Skip to main content

Malaysia

Kematian guru: Polis siasat semua kemungkinan termasuk tekanan di sekolah

Shah Alam , 8 Mei 2026. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar  pada Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Mes Pegawai kanan Polis, IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Shazeli berkata siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan berhubung kes berkenaan selesai. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SHAH ALAM: Polis akan menyiasat pelbagai aspek termasuk kemungkinan tekanan yang dialami seorang guru wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil), di Hulu Selangor, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan berhubung kes berkenaan selesai.

"Aspek tekanan yang mungkin dialami mangsa juga tidak diketepikan sekiranya ia mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

"Pelbagai aspek akan kita lihat, termasuk rakan-rakan kerja dan pihak yang berkaitan kerana kita mahu mengetahui punca sebenar kejadian.

"Selagi siasatan belum selesai dan belum dirujuk kepada pihak pendakwa raya berserta cadangan, semua aspek siasatan masih terbuka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, pada Rabu.

Shazeli menjelaskan, meskipun kes itu diklasifikasikan sebagai SDR (mati megejut) namun kes masih lagi dalam siasatan.

"Siasatan masih belum sampai ke penghujungnya dan kita masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai punca kejadian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Rabu.

Menurut Shazeli lagi, polis turut mengambil keterangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja mangsa bagi membantu melengkapkan siasatan.

Media awal bulan ini melaporkan, seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Hulu Selangor sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan, M Manimaran berkata, mangsa seorang guru dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan.

Dalam pada itu, Shazeli berkata polis turut menyiasat dakwaan sebuah bengkel yang meleraikan dan menjual komponen kenderaan serta dikaitkan dengan kegiatan sindiket didalangi warga asing di Kampung Bukit Kapar, Klang, sebelum premis berkenaan terbakar.

Katanya, setakat ini polis belum dapat mengesahkan kewujudan sindiket berikutan hanya dua warga asing, masing-masing pemilik dan pekerja bengkel, ditahan bagi membantu siasatan.

“Namun, kita tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket dari luar yang menjadikan premis itu sebagai tempat untuk meleraikan kenderaan terbabit.

“Polis juga sedang menyiasat pemilik tanah berkenaan termasuk bagaimana premis itu boleh disewakan kepada warga asing,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah van jenazah dipercayai dicuri di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, kira-kira jam 7.20 malam, 7 Ogos lalu.

Dalam operasi berasingan pada 12 Ogos lalu, Jabatan Imigresen menahan 20 warga asing, terdiri daripada 19 lelaki dan seorang wanita, dalam serbuan di Jalan Kapar pada kira-kira jam 4.30 petang.

Serbuan itu dipercayai membongkar kegiatan meleraikan dan menjual kenderaan curi, termasuk membabitkan kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah.

Must Watch Video

Advertisement