[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Kematian guru wanita tidak melibatkan jenayah along

Bernama 25/06/2025 | 07:00 MYT
M Kumarasan berkata meskipun Lo Kwan Fong pernah meminjam RM20,000 daripada along, namun hutang berkenaan telah dilunaskan. - Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Kematian seorang guru wanita yang mayatnya ditemukan di kediamannya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini 13 Jun lepas dipercayai tidak mempunyai sebarang unsur jenayah yang melibatkan sindiket pinjaman wang haram atau along.

Ringkasan AI
  • Kematian seorang guru wanita di Skudai tidak melibatkan unsur jenayah atau along, meskipun beliau pernah membuat pinjaman yang telah dilunaskan.
  • Mendiang, Lo Kwan Fong, adalah anak tunggal dan mayatnya masih belum dituntut ahli keluarga, dengan polis berusaha mengenal pasti waris seperti ibu saudara di Singapura.
  • Pihak hospital akan mengurus pengebumian selepas tempoh dua minggu jika tiada tuntutan, dan beberapa ibu bapa pelajar turut menyatakan hasrat membantu proses tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata meskipun Lo Kwan Fong, 39, pernah meminjam RM20,000 daripada along, namun hutang berkenaan telah dilunaskan.
"Mendiang pernah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Namun selepas hutang dilunaskan, wanita itu tidak (lagi) membuat laporan polis.
"Malah, jiran mendiang juga menyatakan tiada along datang menyimbah cat di rumahnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga kini mayat wanita itu masih belum dituntut ahli keluarga.
Kumarasan berkata pihak polis telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengesahkan mendiang adalah anak tunggal, manakala ibu serta bapanya telah meninggal dunia.
"Polis akan berbincang semula dengan pihak hospital. Selepas dua minggu, akan dilepaskan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melantik syarikat pengebumian swasta.
"Difahamkan, mendiang mempunyai seorang ibu saudara di Singapura tetapi sehingga kini kita tidak dapat maklumat berhubung perkara itu. Ada juga ibu bapa pelajar yang mahu membantu proses pengebumian Lo," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat seorang guru di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri dipercayai meninggal dunia kira-kira sebulan lepas.
--BERNAMA
#guru #mati along #hutang #Skudai #Iskandar Puteri