Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Kematian pelatih PALAPES: Ibu Syamsul Haris rayu siasatan telus, menyeluruh

Madiha Abdullah 05/12/2025 | 09:01 MYT
Ummu Haiman berharap siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh, selepas AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Allahyarham sebagai kes bunuh. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, menuntut agar pihak berkuasa segera menjejak dan membawa pelaku yang bertanggungjawab atas kematian tragis anaknya ke muka pengadilan.


Ringkasan AI
  • Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menuntut keadilan dan siasatan telus berkenaan kematian tragis anaknya yang dijangka disebabkan oleh kes bunuh, serta meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan undang-undang.
  • Keputusan baru Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasikan kes kematian sebagai kes bunuh memberi keyakinan kepada ibu mangsa bahawa ada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
  • Siasatan semula kes bunuh Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berikutan laporan siasatan Polis Diraja Malaysia dan bedah siasat yang menunjukkan punca kematian beliau adalah akibat kecederaan pada leher.


Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, berharap siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini memutuskan untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Allahyarham sebagai kes bunuh.

“Saya merayu kepada kerajaan, AGC, dan pihak berkuasa, carilah siapa yang bertanggungjawab atas kematian tragis anak saya. Kenal pasti dan hukum mereka dengan setimpal,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Shah Alam, pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan AGC itu seolah mengesahkan gerak hatinya sejak melihat jenazah anaknya di unit forensik.

“Hari saya lihat tubuh anak saya, saya sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena. Hari ini, Alhamdulillah kita berjaya buktikan,” katanya.

Ummu Haiman, yang diwakili peguam Datuk Naran Singh, hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk proses perbicaraan mendapatkan laporan bedah siasat pertama serta nota keterangan dari Bahagian Kecemasan Hospital Kota Tinggi, Johor.

Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram. Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih keesokan harinya.

Pada 2 Disember lalu, AGC mengarahkan kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berdasarkan laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan kubur Allahyarham digali semula pada 26 Ogos bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari. Bedah siasat kedua dijalankan pada 30 Ogos di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan jenazah dikebumikan semula pada hari yang sama.

Laporan bedah siasat diterima oleh pihak keluarga dan peguam pada 28 November lalu, menunjukkan punca kematian Allahyarham adalah akibat kecederaan pada leher.





#Syamsul Haris Shamsudin #Jabatan Peguam Negara #kematian pelatih Palapes #Ummu Haiman Bee Daulatgun #kes bunuh