MALAYSIA
Kematian pelatih PALAPES: Keputusan gali kubur esok, peguam kemuka afidavit baharu

Naran Singh bercakap dengan Ummu Haiman Bee ketika sidang media di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. - Gambar fail
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, akan membuat keputusan sama ada kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, boleh digali semula atau sebaliknya, esok.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan esok sama ada membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee, untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat kedua, susulan kematian ketika latihan di PULADA, Johor pada 28 Julai lalu.
- Peguam Datuk Naran Singh mengemukakan afidavit baharu termasuk rakaman video daripada individu yang mendakwa menyaksikan kejadian, dan menyerahkan salinan kepada Ketua Polis Negara serta Peguam Negara.
- Permohonan turut merangkumi pelantikan pakar forensik dan peguam pemerhati serta cadangan penubuhan pasukan petugas khas Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan kematian Syamsul Haris.
Dalam pada itu, Naran Singh, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan satu afidavit yang baharu.
“Saya telah kemukakan satu afidavit dimana anak guam saya (ibu Allayarham) telah bagi saya satu rakaman USB. Seorang individu ‘A’ di mana dia kata dia lihat kejadian pada ketika itu.
“Buat masa ini, kita tak nak dedahkan siapa ‘A’ itu atas faktor keselamatan. Satu salinan juga telah diberikan kepada ketua Polis Negara (KPN). Saya telah bagi USB itu dengan transkrip kepada wakil Peguam Negara (AG),” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin hadir bagi pihak KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail selaku responden pertama, sementara Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh untuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar (responden kedua).
Terdahulu, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Allahyarham dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Berikutan itu, ibunya, Ummu Haiman sebelum ini memfailkan usul bagi menggali semula jenazah bagi bedah siasat kedua dan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Tetuan Naran Singh & Co,Ummu Haiman selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai responden.
Ummu Haiman memohon supaya jenazah Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan Naran Singh, yang kedua-duanya dilantik olehnya.
Beliau juga meminta Bukit Aman menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengambil alih siasatan berhubung kematian Syamsul Haris.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami