Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kematian pelatih PALAPES: Mahkamah Tinggi perintah kubur Syamsul Haris digali semula

Bernama 26/08/2025 | 01:50 MYT
Peguam Naran Singh (tiga, kiri) bersama Ummu Haiman Bee (empat, kiri), bergambar selepas keputusan permohonan gali semula jenazah di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Semasa membaca keputusan berkenaan, Bhupindar Singh berkata responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung Ummu Haiman Bee itu bagi menjalankan bedah siasat kedua.

“Responden pertama boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu,” katanya dalam prosiding keputusan kepada permohonan gali semula kubur pelatih PALAPES UTM iitu hari ini.

Hadir pada prosiding hari ini Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Ilmami Ahmad mewakili Ketua Polis Negara, Pengarah Pendakwaan Selangor Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara dan peguam Datuk Naran Singh mewakili Ummu Haiman Bee.

Bhupindar Singh turut memerintahkan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas mayat Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas dikeluarkan.

“Bedah siasat itu perlu (juga) dilakukan dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga iaitu Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh Co.

“Ketiga, suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat dan laporan bedah siasat (dikeluarkan atau diserahkan) dalam tempoh yang munasabah daripada tarikh ia dijalankan, serta satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh Co,” kata Bhupindar Singh.

Naran Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beberapa persiapan perlu dilakukan untuk memastikan proses gali semula kubur dilaksanakan secepat mungkin serta penetapan tarikh itu akan dilakukan oleh Ketua Polis Negara.

“Dalam hal ini, Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa agama negeri terlibat. Mereka akan tetapkan satu tarikh (untuk gali kubur). Contoh (jika) mereka tetapkan hari Jumaat ini gali, dalam tempoh 14 hari mesti jalankan bedah siasat (dari tarikh gali kubur),” katanya.

Dalam pada itu, Ummu Haiman Bee ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang membenarkan kubur anak lelakinya digali semula.

“Usaha pertama kami untuk dapat kebenaran (kubur digali) dan itu pun saya (ucap) alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita tahu punca sebenar kematian. Saya harapkan satu keputusan bedah siasat yang betul, lebih telus dan tepat,” katanya.

Beliau berkata satu siasatan telus perlu dijalankan tanpa melindungi mana-mana pihak selepas ini.

Pada 19 Ogos lepas, Ummu Haiman Bee mengemukakan permohonan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.

-- BERNAMA











#Syamsul Haris Shamsudin #gali semula kubur #bedah siasat #kematian pelatih Palapes