MALAYSIA

Kematian pempengaruh Taiwan: Kertas siasatan babitkan Namewee lengkap, polis tunggu arahan lanjut TPR

Umavathi Ramayah 12/11/2025 | 12:32 MYT
Fadil Marsus berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kertas siasatan membabitkan penyanyi dan pengarah kontroversi, Namewee berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu untuk tindakan lanjut.


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan kes kematian wanita Taiwan di hotel Kuala Lumpur, yang melibatkan Namewee, diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut setelah polis lengkapkan siasatan menyeluruh.
  • Perintah tahanan reman Namewee disambung selama tiga hari bagi membantu siasatan, sementara polis mendapati Namewee mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa sebelum kejadian.
  • Kes semula diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi kemudiannya berubah kepada kes bunuh, berdasarkan fakta bahawa Namewee merupakan individu terakhir yang bersama mangsa sebelum kematiannya.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata langkah itu diambil selepas pihak polis melengkapkan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan.

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kita kini menunggu arahan lanjut daripada pasukan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, perintah tahanan reman terhadap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Che, 42, disambung selama tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

Berdasarkan siasatan awal, polis memberitahu lelaki itu dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa dan mereka dilaporkan bersama sejak berada di luar negara sebelum kejadian berlaku.

Mangsa, Hsieh Yun Hsin, 33, ditemukan mati dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun kemudiannya disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas polis mendapati Namewee dipercayai merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kematiannya.




#Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Hsieh Yun Hsin #Namewee #bedah siasat