Kematian wanita OKU kerana lemas terhidu asap - Polis

Bernama
Mac 29, 2023 04:50 MYT
Seorang wanita OKU ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian, pada Selasa. -Foto Sinar Harian
PONTIAN: Kematian wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi di sini, semalam dipercayai akibat lemas terhidu asap.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata kejadian itu dilaporkan kepada pihaknya pada 1.30 tengah hari dan mangsa yang berusia lingkungan 48 tahun turut didapati melecur di beberapa bahagian badan serta meninggal dunia di lokasi berkenaan.
"Pihak bomba memaklumkan kebakaran bermula dari bahagian dapur dan merebak ke depan rumah namun punca kejadian sedang disiasat oleh pihak forensik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mohammad Shofee menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga OKU supaya tidak meninggalkan individu berkenaan bersendirian di rumah dan memaklumkan kepada jiran bagi penjagaan atau pemerhatian sementara sekiranya perlu.
Sementara itu, Ketua BBP Pontian Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 12.27 tengah hari, semalam.
Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran sebuah rumah satu tingkat jenis kekal yang mengakibatkan kemusnahan 70 peratus daripada keseluruhan bangunan.
"Terdapat seorang mangsa wanita OKU ditemukan rentung di ruangan bilik tidur.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah operasi pemadaman tamat pada 3.15 petang semalam.
-- BERNAMA
#Wanita OKU #Kampung Parit Haji Elias #lemas terhidu asap #melecur di beberapa bahagian badan