MALAYSIA
Kematian yang dicemburui: Lelaki meninggal dunia dalam sujud di masjid
Pemergian Allahyarham dalam keadaan beribadah menyentuh hati ramai pihak dan dianggap sebagai kematian yang dicemburui. - Gambar/ Sinar Harian
BUTTERWORTH: Seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu di sini, pada pagi Sabtu.
Ringkasan AI
- Seorang jemaah lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia ketika bersujud dalam solat dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu, Butterworth, dan jenazahnya telah dibawa pulang ke kampung halaman di Batu Kurau, Perak untuk dikebumikan.
- Kejadian disaksikan oleh ahli kariah yang hadir dalam program keagamaan, dan arwah dikenali sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan dakwah serta sering singgah di masjid tersebut.
- Pemergian Allahyarham dalam keadaan beribadah menyentuh hati ramai pihak dan dianggap sebagai kematian yang dicemburui, dengan orang ramai turut mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Zulkifli Ahmad, 50, yang juga ahli Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pulau Pinang dilaporkan tidak sedarkan diri ketika dalam keadaan bersujud.
Difahamkan, arwah yang menetap di Telok Air Tawar, Butterworth telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak untuk dikebumikan.
Menurut ahli kariah masjid, Adnan Mohd Farok, 44, Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi.
"Kejadian tersebut disaksikan beberapa ahli kariah yang berada di masjid itu bagi mengikuti sebuah program keagamaan.
"Saya ketika itu, baru sampai di masjid dan ternampak beberapa jemaah lain mengelilingi arwah yang sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tambahnya, ketika kejadian, majlis pengajian melibatkan kumpulan muslimat sedang diadakan di masjid berkenaan.
"Ada yang menyedari arwah bersujud terlalu lama dan apabila didekati, dia terus rebah.
“Beberapa ahli kariah memeriksa keadaannya dan mendapati dia sudah tidak bernyawa,” katanya.
Adnan berkata, walaupun tidak mengenali Zulkifli secara peribadi, dia dimaklumkan bahawa arwah aktif menyertai pelbagai program keagamaan bersama jemaah tabligh dan sering singgah di masjid berkenaan.
“Rakan-rakan yang mengenali arwah menyifatkannya sebagai seorang yang baik, rendah diri dan gemar membantu tanpa banyak bercakap hal orang lain.
“Pemergiannya dalam keadaan beribadah amat dicemburui,” katanya lagi.
Difahamkan, Allahyarham menyewa di Telok Ayer Tawar dan meninggalkan seorang isteri serta tiga orang anak.
Pemergian Allahyarham dalam keadaan tenang dan di rumah ALLAH SWT nyata menyentuh hati banyak pihak, malah dianggap sebagai kematian yang dicemburui.
Orang ramai yang mengetahui insiden itu turut menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. - Sinar Harian