MALAYSIA

Kematian Zara Qairina: Ibu Zara nafi kaitkan kematian anak dengan VVIP

Sinar Harian 02/08/2025 | 07:20 MYT
Kematian tragis Zara Qairina yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah mengundang kejutan ramai pihak. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menerusi peguamnya, menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian anak tunggalnya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau orang kenamaan.


Ringkasan AI
  • Ibu kepada Allahyarham Zara, melalui peguamnya, menegaskan tidak pernah mengaitkan kematian anaknya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau VVIP, dan menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai tidak berasas.
  • Noraidah Lamat juga tidak mempunyai maklumat berkaitan jeritan 'kau pembunuh' atau pemindahan pelajar dari sekolah, dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas ia tular di media sosial.
  • Pasukan peguam meminta orang ramai menghentikan spekulasi dan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis serta menimbulkan fitnah, dan menyeru agar maklumat berkaitan disalurkan kepada pihak berkuasa.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, mereka menjelaskan bahawa sebarang andaian atau dakwaan yang mengaitkan kematian tersebut dengan pihak tertentu adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka, Noraidah Lamat, 45.

“Kami dengan ini menyatakan bahawa anak guam kami, ibu kepada Zara, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.

“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami,” kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan pada Sabtu.

Dalam kenyataan itu juga, anak guam mereka tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat jeritan 'kau pembunuh' oleh pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.

“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial.

“Anak guam kami juga tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara.

“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ia tular di media sosial,” kata mereka lagi.

Sehubungan itu, pasukan peguam berkenaan meminta orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara, anak guam mereka atau mana-mana individu lain.

“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.

“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya.

Terdahulu, Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian meluas, terutamanya di media sosial, selepas wujud dakwaan yang mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur buli di sekolah berkenaan.

Susulan daripada itu, tercetusnya tanda pagar #JusticeForZara sebagai solidariti terhadap siasatan yang telus melibatkan kematian pelajar tersebut. - Sinar Harian




#Zara Qairina #kes kematian #VVIP #ibu mangsa