KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sebagai mati mengejut sehingga prosedur bedah siasat selesai untuk menentukan punca kematian.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh jam 11.40 malam, pada Rabu.

Menceritakan proses pengesanan kanak-kanak berusia enam tahun itu, Mohd Fakhrudin berkata, pihaknya telah menjalankan Op Kesan dan Op Pencarian bersama komuniti penduduk terdiri daripada penduduk kawasan Apartmen Idaman, Apartmen Indah, Apartmen Saujana, Apartmen Permai dan sekitar Damansara Damai, jam 9.30 malam.

"Misi pencarian berjaya menjumpai kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri di saluran air berdekatan takungan air 200 meter dari jarak rumah mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk prosedur bedah siasat dalam menentukan punca kematian," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrudin turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus ke bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03- 79662222.

"Polis mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang telah kehilangan adik Zayn Rayyan serta terima kasih kepada semua agensi dan penduduk terlibat dalam memberikan kerjasama dalam misi pencarian tersebut," ujarnya.

Selepas dilaporkan hilang tengah hari Rabu di Damansara Damai, Zayn Rayyan ditemui maut dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam tadi.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.
Mangsa ditemui terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan dilaporkan menyedari kehilangan mangsa ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.