NATIONAL
Kematian Zayn Rayyan 'mencurigakan', tidak selari lokasi penemuan mayat - Pakar forensik

Zaim Ikhwan Zahari (dua, kanan) dan Ismanira Abdul Manaf hadir bagi sambung bicara atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. -Gambar fail
PETALING JAYA: Doktor pakar yang membedah siasat mayat Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa, kematian kanak-kanak autistik itu sebagai mencurigakan.
Ringkasan AI
- Doktor pakar yang membedah siasat mayat Zayn Rayyan Abdul Matin menyimpulkan bahawa kematian kanak-kanak autistik itu mencurigakan dan dikategorikan sebagai 'suspicious' atau 'homicide until proven otherwise'.
- Kecederaan pada tubuh Zayn Rayyan tidak selari dengan keadaan sekitar lokasi penemuan mayatnya, menunjukkan kemungkinan kematian bukan disebabkan lemas.
- Pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, menghadapi pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Dr Rohayu, 54, berkata, selepas meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai beliau mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar sungai berkenaan.
“Jadi, saya simpulkan bahawa, kes ini bukan mati kerana lemas, kerana ada kesan guntingan di telinga dan luka tajam di lengan.
“Ia tidak konsisten kerana kawasan kejadian ialah di sungai sementara pohon-pohon di situ ada yang kecil dan besar,” katanya yang sebelum ini berkhidmat di jabatan sama di Hospital Sungai Buloh.
Pendakwaan: Kenapa lokasi penemuan mayat mangsa tidak konsisten dengan kecederaan yang dihadapinya sedangkan doktor kata mayat mangsa juga ada kesan trauma tumpul?
Dr Rohayu: Ia tidak disokong dengan fakta lokasi yang menunjukkan kombinasi kawasan tanah atau permukaan objek tumpul dengan pohon-pohon objek tumpul.
Dr Rohayu: Jika si mati terjatuh, luka tumpul boleh dilihat pada badan mangsa, sepatutnya di tubuh yang terdedah sahaja, jadi lokasi kejadian itu tidak boleh hasilkan kesan jerutan.
Selain itu saksi ini berkata, kecederaan yang dialami mangsa juga menunjukkan perbuatan itu dilakukan lebih daripada sekali.
Menurutnya, ketika mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh ia dikategorikan sebagai kes kematian biasa maka bedah siasat boleh dilakukan oleh pegawai perubatan sahaja.
“Jika bedah siasat mendapati tiada kecederaan dan kes betul-betul disebabkan lemas di sungai, maka saya akan serahkan semula kepada pegawai itu.
“Bagaimanapun, selepas meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, saya mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar lokasi kejadian mangsa ditemui, maka kehadiran doktor pakar diperlukan untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri itu, saksi berkenaan berkata, berdasarkan keadaan mayat, Zayn Rayyan mungkin meninggal dunia antara 24 hingga 48 jam.
Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, ia tidak akan melepasi julat masa hingga tujuh hari.
Susulan itu, beliau berkata, mangsa mungkin maut antara 30 November hingga 5 Disember 2023.
Peguam: Memandangkan doktor membuat bedah siasat pada jam 12 tengah hari, 7 Disember, maka julat kematian dalam 48 jam ialah pada 5 Disember?
Dr Rohayu: Ya.
Peguam: Doktor juga tidak mengetepikan, ada serangan seksual ke atas mangsa?
Dr Rohayu: Ya.
Peguam: Boleh juga berlaku pembunuhan dan serangan seksual?
Dr Rohayu: Boleh kerana ia mungkin berlaku dalam julat masa 24 jam.
Peguam: Mana satu yang betul, 24 atau 48 jam?
Dr Rohayu: Maksud saya, kecederaan berlaku semasa mangsa masih hidup iaitu 24 jam, sementara 48 jam ialah jangka masa kematian.
Sementara itu, ketika menjawab soalan pendakwaan ketika pemeriksaan semula, saksi ini berkata, dapatan bahawa kematian mungkin berlaku antara 24 hingga 48 jam ialah berdasarkan pembusukan mayat mangsa.
Ketika membaca pernyataan saksi, beliau berkata, semasa bedah siasat mayat mangsa pada jam 12 tengah hari, 7 Disember 2023, jasad si mati telah mula membusuk dan berlaku perubahan warna kulit serta abdomen.
Selain itu katanya, jasad mangsa juga menunjukkan ada kesan trauma tumpul dan tajam termasuk bekas jerutan pada leher.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, pada keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami