KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dinasihatkan untuk kembali memperkukuh asas saling kasih mengasihi dan hormat-menghormati serta mengelakkan persengketaan dan memburukkan antara sesama Islam, selaras dengan prinsip Mahabbatul Muslimin.
Tokoh Turath Islam Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang al-Makki berkata perkara itu, merupakan tuntutan dan kewajipan bagi setiap individu Islam seiring dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Setiap daripada kita wajib mencintai akan saudara kita beragama Islam. Wajib fardu ain, bukan fardu kifayah, bukan sunat. Maksud perkara ini, kita nak yang terbaik untuk kita, kita mesti nak yang terbaik juga untuk saudara kita Islam.
“Kita tak mahu perkara buruk bagi diri kita, maka wajib kita tak mahu juga perkara buruk itu berlaku kepada saudara Islam kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Maulud Akbar Permatang Pauh di Masjid Jamek Tengah Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penerima anugerah Tokoh Kebangsaan Maulidur Rasul 2025/1447 itu, turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW “La yu'minu ahadukum hatta yuhibba li-akhihi ma yuhibbu linafsih” yang bermaksud “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri”.
“Kalau mengikut sabda Nabi, ‘La yu'minu’, tak ada iman langsung. Walaupun kita kata ada iman, tapi tak sempurna. Jadi orang yang tidak mencintai kepada saudaranya Islam, orang ini tidak ada iman langsung.
“Orang yang hidupnya hari-hari mencaci, mencela, memfitnah, menyumpah orang Islam, mendoakan keburukan pada orang Islam, bangun pagi, waktu Dhuha, waktu Zohor maki hamun orang Islam, menghukum murtadkan orang Islam, menghukum kafir sesama Islam, ini bukan orang mukmin,” katanya.
Beliau berkata selagi umat Islam ada perasaan benci kepada saudara sesama Islam, mengajar perkara itu kepada orang lain termasuk menanam pengaruh itu kepada generasi muda, maka selagi itulah tidak ada iman di dalam hati mereka yang berkenaan.
Sheikh Wazir berkata perkara itu turut diperkukuh lagi dengan firman Allah “Innamal mu'minuna ikhwah” yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara”.
“Orang mukmin itu adik-beradik sebagai seibu sebapa. Kita orang mukmin ini adik-beradik sebagai seibu sebapa.
“Kalau kita kasih kepada adik kita dengan sebab dia sedaging sedarah dengan kita, kita kasih kepada abang kita dengan sebab dia sedaging sedarah dengan kita, maka wajib kita kena kasih kepada saudara kita Islam sebagai sedaging sedarah dengan kita.
“Tak boleh memfitnah, mencaci maki, menyumpah dan berkata yang buruk kepada mereka,” katanya.
Selain menekankan perkara itu yang menjadi antara tiga asas penting kepada agama Islam selepas kewajipan mencintai Allah dan Nabi Muhammad SAW, beliau turut menekankan kewajipan untuk menghormati masyarakat bukan beragama Islam.
“Kita juga perlu menghormati orang-orang bukan Islam yang sanggup hidup bersama kita, hidup berjiran dengan kita dan berjual beli dengan kita,” katanya.
Sheikh Wazir yang merupakan Pengerusi Muafakat Pondok Se-Malaysia negeri Kelantan, bermastautin di Makkah sejak berusia 11 tahun sebelum pulang ke tanah air pada 1980 dan menjadi pendakwah serta tenaga pengajar di Kelantan sehingga kini.
Anak jati Tumpat, Kelantan itu mendapat pendidikan di Madrasah Darul Ulum Addiniah, Makkah; Madrasah Rahmaniah Mutawasitah dan Madrisah Saulatiyah Ahnawi A'li; ljazah Sarjana Muda (BA) dalam Sains Politik di Kolej Islam Karachi, Pakistan dan Ijazah Sarjana (MA) dalam Sosiologi Islam di Universiti Karachi, Pakistan.
-- BERNAMA