MALAYSIA

Kembalikan makna suci pendidikan, tangani krisis kemanusiaan di sekolah - Sultan Nazrin

Bernama 05/11/2025 | 06:52 MYT
Sultan Nazrin berkenan melancarkan Modul Intergriti Keluarga (MIKe) ketika baginda berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Mengembalikan makna suci pendidikan merupakan antara keutamaan yang perlu diberi perhatian bagi menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di sekolah mutakhir kini, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.


Ringkasan AI
  • Sultan Perak menyeru untuk mengembalikan makna suci pendidikan sebagai penyelesaian krisis kemanusiaan di sekolah, yang disebabkan oleh kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan.
  • Baginda menekankan bahawa krisis tersebut mungkin berpunca daripada terlalu fokus kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kuantitatif, meninggalkan aspek kualitatif dan sikap penafian, ego yang tidak mahu menerima teguran, dan kurang tindakan tegas dalam pembetulan masalah.
  • Sultan Nazrin menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar untuk menghasilkan individu cemerlang, tetapi lebih penting untuk melahirkan insan beradab, dengan menitikberatkan integriti sebagai asas yang perlu dipupuk sejak di sekolah.


Baginda bertitah, peristiwa-peristiwa hitam yang mengejutkan negara dan masyarakat dalam alam persekolahan termasuk buli dan bunuh kebelakangan ini adalah cerminan kegagalan pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan.

Bagaimanapun, titah baginda, tidak adil jika krisis yang berlaku hari ini dipolemikkan atau dipolitikkan untuk menyalahkan kepimpinan semasa, sebaliknya ia mungkin berpunca daripada kealpaan mencegah masalah di peringkat awal secara bersungguh-sungguh.

"Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah dialpakan dek kerana terlalu fokus kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, sehingga mengorbankan komponen kualitatif.

"Sifat penafian berterusan, tidak berani mengakui kesilapan, ditambah ego yang enggan menerima teguran dan enggan berubah, kompromi serta kurang berani bertindak tegas dalam melakukan pembetulan merupakan penyebab menyuburkan 'sel' barah tersebut sehingga terus merebak," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiasaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi Institut Intergriti Malaysia (IIM).

Sultan Nazrin menekankan, pendidikan bukan sekadar memenuhi agenda melahirkan individu yang paling cemerlang, tetapi lebih penting untuk melahirkan insan yang paling beradab.

"Sejak mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar.

"Belanjawan 2026, memperuntukkan 66.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan dan 18.6 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Namun semua itu akan tinggal sebagai angka dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai sekiranya jiwa anak-anak masih kosong dari segi nilai, apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan mempunyai arah hidup yang betul," titah baginda.

Baginda menegaskan, pendidikan juga membentuk integriti insan dan perlu dipupuk dari peringkat awal, iaitu di sekolah.

"Integriti tidak lahir secara spontan. Ia tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas atau penubuhan sebuah institusi semata-mata, sebaliknya dibentuk melalui pendidikan berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat, dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh diteladani.

"Nyatalah makna suci pendidikan wajib dikembalikan. Pendidikan adalah keupayaan memberi arah, bukan sekadar arahan; guru bukan hanya penyampai pengetahuan, tetapi penyemai nilai.

"Pendidikan integriti perlu bermula sejak di bangku sekolah, agar generasi muda memahami bahawa kejayaan tanpa kejujuran tidak membawa keberkatan," titah baginda.

-- BERNAMA












#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #makna suci pendidikan #sekolah