KUALA LUMPUR: Tanggal 6 Mac 1986, tarikh yang memahat sejarah penyatuan dua hati dari dua negeri.

Rakyat jelata di Johor dan Pahang menjadi saksi ikatan cinta pasangan diraja antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada tahun bersejarah itu. 

Pada malam 5 Mac 1986 didahului dengan majlis tahlil di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru bermulalah istiadat pertunangan di antara pasangan romantik yang saling melengkapi ini. 

Keesokannya di Istana Bukit Serene, berlangsungnya istiadat pertunangan, majlis dihadiri kerabat diraja kedua pihak, pembesar negara dan orang kenamaan dari segenap pelusuk negara. 

Istiadat majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, sebelum diikuti istiadat bersanding Pengantin Diraja di Istana Besar, Johor Bahru pada 19 Julai, 1986. 

Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pula menyusul pada 26 Julai, 1986. 

Perkenalan baginda berdua bermula sejak mereka masing-masing berusia 13 dan 12 tahun dari pertemuan di acara polo yang sering diadakan oleh keluarga Diraja Pahang dengan Johor, membawa sehingga ke peterana bersejarah.

Kembara cinta diRaja seiring kasih rakyat. - Sumber foto Istana Negara

Perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang itu menjadikan Tengku Azizah sebagai Tengku Puan Pahang.

Pada Julai 2019, Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16. Sepanjang usia sebagai suami isteri, pasangan diraja ini dikurniakan sembilan orang cahaya mata termasuk empat putera dan lima puteri.
Pasangan Diraja ini mengikat kasih secara rasmi pada 6 Mac, 1986. - Sumber foto Istana Negara


Ulang Tahun Ke-35: Kembara Cinta Diraja Seiring Kasih Rakyat

Acara akad nikah pasangan Diraja ini berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor. - Sumber foto Istana Negara

Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku. 


[INFOGRAFIK] Biodata Yang di-Pertuan Agong


[INFOGRAFIK] Biodata Raja Permaisuri Agong



NOTA: Baca semua berhubung 'Ulang Tahun Perkahwinan ke-35 Pasangan Diraja' di halaman mikro Astro AWANI di sini.