Kembara Kenali Borneo akhiri jelajah di Sabah pada hari kelima

Bernama
September 7, 2023 02:10 MYT
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah. - Foto Instagram/Istana Negara
PENAMPANG: Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelima merupakan hari terakhir konvoi berkenaan menjelajah Sabah sebelum bergerak ke Sarawak dijadualkan petang ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat pada Majlis Santapan Pagi Bersama Rakyat dan melawat Persatuan Kebudayaan Kadazadusun (KDCA) di sini.
Seri Paduka berdua kemudian dijadual meneruskan perjalanan ke Masjid Sahabat di Sindumum, Sipitang untuk Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Rakyat, sebelum berangkat melintasi sempadan Sabah-Sarawak.
Pasangan Diraja dan konvoi itu dijadual berangkat ke Lawas Waterfront di Lawas, Sarawak sebelum bergerak ke Brunei mengakhiri hari kelima kembara berkenaan hari ini.
Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
-- BERNAMA
#Kembara Kenali Borneo #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Sabah