MERSING: Mersing tampil dengan kelainan tahun ini menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang dibawa merentasi perairan, sekali gus mengetengahkan identitinya sebagai daerah maritim.
Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata kembara itu lazimnya dilakukan menerusi konvoi kenderaan yang menyusuri jalan raya, namun pendekatan berbeza diterjemahkan menerusi pelayaran lebih 20 bot dari Jeti Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), di sini ke Jeti Mersing.
Beliau berkata laut merupakan laluan yang menghubungkan masyarakat, sumber rezeki, menggerakkan sektor pelancongan dan membentuk kehidupan penduduk daerah ini sejak sekian lama.
"Oleh itu, program hari ini bukan sekadar memindahkan konvoi dari darat ke air, sebaliknya kita sedang memberikan tafsiran baharu kepada semangat kemerdekaan melalui keunikan dan acuan Mersing sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat Daerah Mersing di Jeti Batu PNK, di sini hari ini.
Jamil Hasni berkata perarakan bot itu juga memperlihatkan kesatuan antara komuniti nelayan, pengusaha bot pelancongan, pasukan keselamatan, jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.
"Jalur Gemilang bukan saja dikibarkan di bangunan, premis dan kenderaan, tetapi turut dibawa ke perairan yang menjadi nadi kehidupan masyarakat daerah ini. Inilah semangat 'Mersing Berlayar' yang merentasi gelombang.
" … walaupun datang daripada bidang serta latar belakang yang berbeza, kita tetap belayar di bawah satu bendera dan menuju cita-cita yang sama," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata program itu juga mendukung empat teras "Mersing Pelancongan Lestari" yang mempunyai kaitan langsung dengan penganjurannya, iaitu pelancongan, keselamatan, infrastruktur, fasiliti serta kebersihan.
-- BERNAMA