Kemenangan Pakatan Harapan, akhbar tempatan 'meriah'

Madiha Abdullah
Mei 10, 2018 05:13 MYT
Kesemua akhbar tempatan menjadikan berita kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 sebagai tajuk utama muka hadapan hari ini.
SEJARAH tercipta hari ini apabila rakyat Malaysia memilih untuk berkerajaan baru, dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bukan setakat laman sosial, rakyat Malaysia juga menjadikan akhbar tempatan sebagai bahan bacaan mereka pada hari cuti umum sempena PRU14 ini.
Kesemua akhbar tempatan menjadikan berita kemenangan Pakatan Harapan sebagai tajuk utama, dan ia bukan satu kejutan memandangkan 'perayaan' ini disambut lima tahun sekali.
Turut menarik perhatian adalah gambar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai Harapan dalam PRU14.
Antara yang menarik perhatian adalah tajuk 'Tsunami Rakyat' di muka depan Sinar Harian, Kosmo! dengan tajuk 'Tsunami Rakyat Tenggelamkan BN' dan Harian Metro dengan tajuk 'PRU14 Milik PH'.
Ada juga yang menyentuh mengenai Dr Mahathir yang bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 negara, namun buat masa ini, upacara itu masih belum berlangsung.
Akhbar tempatan turut melaporkan kekalahan mengejut beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional sebelum ini, termasuk bekas penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang merupakan Presiden MIC dan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MCA, yang bertanding di Bentong.
#akhbar #Barisan Nasional #Dr S Subramaniam #laman sosial #Liow Tiong Lai #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PPBM #PRU14 #rakyat Malaysia #S Subramaniam