KUCHING: Rombakan Kabine pada Selasa yang menyaksikan penubuhan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam adalah satu langkah wajar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab hijau di rantau ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menerajui kementerian baharu itu.

"Dengan Sarawak menekankan tenaga boleh diperbaharui, ia sesuai untuk Fadillah menjajarkan semula dasar tenaga untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab hijau di rantau ini," kata beliau dalam satu mesej WhatsApp yang dikongsikan dalam kumpulan Pejabat Premier Sarawak pada Selasa.

Abang Johari kini kini berada di luar negara sejak mengetuai delegasi Sarawak di Persidangan Pihak-pihak Ke-28 (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), di Emiriah Arab Bersatu minggu lepas.

Beliau kemudiannya meneruskan dengan lawatan ke beberapa negara Eropah untuk mempromosikan pelaburan di Sarawak.

Ketika mengumumkan kementerian baharu itu pada sidang media di Putrajaya pada Selasa, Anwar berkata, kementerian itu akan menyerap sebahagian daripada portfolio yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Beliau berkata, Fadillah yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama dari Borneo itu juga bertanggungjawab untuk hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini Fadillah merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi dan jawatan itu kini dipegang Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - BERNAMA