MALAYSIA
Kementerian bincang solusi tangani isu penjualan semula tiket konsert mahal - Teo

Teo bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program GDPM Fest 2025 anjuran MCMC hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mencari penyelesaian terhadap isu penjualan semula tiket konsert pada harga berlipat kali ganda atau scalping, yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata KPDN kini sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu, termasuk kemungkinan membentangkan satu rang undang-undang berkaitan isu berkenaan.
"Saya tidak boleh umumkan bagi pihak mereka (KPDN) tetapi kami dimaklumkan KPDN sedang meneliti isu ini dan ada kemungkinan rang undang-undang akan dibentang.
"Kementerian Komunikasi juga telah berbincang bukan sahaja dengan KPDN, malah bersama penganjur acara dan syarikat-syarikat tiket bagi mencari penyelesaian paling sesuai untuk isu ini," katanya pada sidang media program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Festival 2025 peringkat negeri Johor di Permas Jaya di sini hari ini.Beliau berkata isu itu sering timbul apabila melibatkan konsert artis antarabangsa berprofil tinggi seperti G-Dragon, yang menyaksikan permintaan luar biasa sehingga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjual semula tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal.
"Misalnya, konsert G-Dragon ada individu yang sanggup membayar sehingga lima kali ganda harga tiket (berbanding harga asal) kerana mereka sangat minat terhadap artis itu dan ingin hadir ke konsert berkenaan," katanya.
Pada Jumaat lepas, Teo mempengerusikan satu sesi perjumpaan bersama wakil daripada KPDN serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membincangkan isu tiket pada harga berlipat kali ganda yang semakin menjejaskan industri hiburan negara.
Beliau berkata sesi itu diadakan bagi menyediakan platform untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada agensi terlibat secara langsung dalam pemantauan serta penguatkuasaan penjualan tiket konsert, termasuk mengambil contoh dari negara lain yang telah melaksanakan undang-undang berkaitan ulat tiket.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami