MALAYSIA

Kementerian Digital akan anjur acara AI antarabangsa bersama KPM, KPT

Umavathi Ramayah 20/09/2025 | 04:15 MYT
Gobind Singh Deo menegaskan pembangunan ekosistem digital negara tidak boleh hanya bergantung kepada infrastruktur, sebaliknya kejayaan sebenar ditentukan bakat dan pemikiran inovatif generasi muda. - Gambar/ Ikqwan Lee/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kementerian Digital akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai penganjuran acara berskala antarabangsa menghimpunkan universiti dan pelajar bagi mengetengahkan kekuatan akademia tempatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).


Ringkasan AI
  • Kementerian Digital akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menganjurkan acara antarabangsa yang menghimpunkan universiti dan pelajar bagi menonjolkan kekuatan akademia tempatan dalam bidang kecerdasan buatan, dijangka berlangsung suku pertama tahun hadapan.
  • Acara ini bertujuan memperlihatkan Malaysia bukan sahaja membina ekosistem digital dari segi infrastruktur, tetapi juga menonjolkan kelebihan dalam pendidikan, penyelidikan dan bakat generasi muda, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab AI menjelang 2030.
  • Kerajaan komited mewujudkan ekosistem yang menyediakan peluang pekerjaan, akses teknologi, perlindungan data dan ruang inovasi agar tenaga mahir tempatan kekal menyumbang di Malaysia, di samping menarik pelaburan dan keyakinan syarikat antarabangsa dalam sektor digital.


Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, acara yang dijangka diadakan pada suku pertama tahun hadapan itu bakal memperlihatkan Malaysia bukan sahaja membina ekosistem digital dari segi infrastruktur, tetapi turut memiliki kelebihan dalam pendidikan, penyelidikan dan bakat generasi muda.

Beliau menegaskan pembangunan ekosistem digital negara tidak boleh hanya bergantung kepada infrastruktur, sebaliknya kejayaan sebenar ditentukan bakat dan pemikiran inovatif generasi muda.

“Kita boleh memiliki infrastruktur terbaik, namun tanpa keyakinan masyarakat serta minda inovatif, ia tidak membawa makna. Justeru, teknologi perlu dibangunkan dengan garis panduan yang menjamin keselamatan, kepercayaan dan penerimaan rakyat.

"Jadi acara ini akan melibatkan sahabat-sahabat global bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia bukan sahaja menumpukan kepada pembinaan ekosistem dari segi infrastruktur, tetapi turut menampilkan kekuatan akademia, keunggulan dalam bidang pendidikan dan bakat pelajar kita.

"Dengan cara ini, kita boleh menonjolkan Malaysia sebagai sebuah hab AI dalam sektor akademia," katanya selepas majlis Great Malaysia AI Hackathon 2025 Enters ASEAN Records di Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), di sini pada Sabtu.

APU dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sokongan Amazon Web Services (AWS) mencatat rekod ASEAN sebagai hackathon AI terbesar pernah dianjurkan akademia dan pemain industri di rantau ini melalui Great Malaysia AI Hackathon 2025.

Hackathon tersebut menyaksikan penyertaan 1,741 peserta, terdiri daripada 1,547 pelajar universiti dan 194 profesional industri.

Sementara itu, Gobind Singh yang juga Ahli Parlimen Damansara itu berkata, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara AI menjelang 2030 seperti dinyatakan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Julai lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kebocoran bakat apabila ramai graduan AI tempatan direkrut syarikat antarabangsa, beliau menegaskan kerajaan komited mewujudkan ekosistem yang menyediakan peluang pekerjaan, akses teknologi, perlindungan data serta ruang inovasi agar tenaga mahir memilih untuk terus menyumbang di Malaysia.

"Antara Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 368 syarikat memperoleh status Malaysia Digital dengan nilai pelaburan berjumlah RM44.6 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan syarikat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi.

"Langkah itu juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kerjasama dalam bidang teknologi baharu," ujarnya.








#Gobind Singh Deo #kecerdasan buatan #Kementerian Pendidikan #Kementerian Pendidikan Tinggi