[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kementerian Digital, JPJ bincang rangka kerja perundangan kenderaan autonomi

Bernama 08/09/2025 | 08:33 MYT
Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Makmal Forensik Kenderaan CyberSecurity Malaysia di Menara Cyber Axis hari ini. - Foto Bernama
CYBERJAYA: Kementerian Digital telah memulakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mewujudkan rangka kerja perundangan khusus untuk kenderaan autonomi atau kenderaan tanpa pemandu di Malaysia, kata Menterinya Gobind Singh Deo.


Ringkasan AI
  • Kementerian Digital dan JPJ sedang berbincang untuk mewujudkan rangka kerja perundangan bagi kenderaan autonomi di Malaysia, termasuk aspek keselamatan dan perlindungan data.
  • Menteri Gobind Singh Deo menegaskan bahawa Malaysia perlu bersedia lebih awal dari segi undang-undang dan infrastruktur digital kerana teknologi kenderaan tanpa pemandu semakin hampir menjadi realiti.
  • Buat masa ini, tiada undang-undang khusus mengawal selia kenderaan autonomi, termasuk Transit Aliran Autonomi (ART), namun rangka kerja baharu sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Pengangkutan.


Beliau berkata peralihan ke arah penggunaan kenderaan autonomi memerlukan persediaan awal dari pelbagai aspek termasuk piawaian keselamatan, infrastruktur digital dan perlindungan data.

"Kita memang sudah ada perbincangan dengan JPJ, berkaitan apa yang kita sebutkan rangkaian kenderaan autonomi (autonomous vehicle network), kita lihat di negara lain ada kenderaan yang bergerak tanpa ada pemandu.

"Dalam keadaan tersebut, kita kena lihat bagaimana kita boleh bangunkan satu sistem perundangan bagi memastikan ekosistemnya bersesuaian dari aspek keselamatan dan data," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Gobind berkata teknologi kenderaan tanpa pemandu adalah satu realiti yang semakin hampir dan Malaysia perlu mengambil langkah awal bagi memastikan negara bersedia dari segi undang-undang dan infrastruktur sokongan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada September tahun lepas dilaporkan berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan rangka kerja bagi meminda undang-undang baharu untuk mengawal selia pengoperasian kenderaan autonomi di jalan raya.

Menurut Loke, pada masa ini tiada undang-undang khusus bagi mengawal kenderaan autonomi termasuk Transit Aliran Autonomi (ART).

-- BERNAMA





#kenderaan autonomi #JPJ #Gobind Singh Deo #Kementerian Digital #kenderaan tanpa pemandu