KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperhalusi cadangan supaya pemain industri dalam sektor tertentu diberi pengecualian daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, pelbagai aspek perlu dinilai dan diambil kira khususnya faktor kesihatan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut beliau, satu mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan diadakan minggu depan bagi membincangkan perkara tersebut.

“KSM sedar, walaupun tugas utama kita adalah untuk melahirkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan, tetapi pada masa sama kita masih perlukan pekerja asing untuk sektor tertentu, namun untuk tempoh ini, kita tidak boleh amalkan pendekatan terbuka.

“Sebaliknya, perkara itu perlu dikaji secara mendalam supaya ia tidak memberikan keburukan kepada warga tempatan,” katanya ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, meminta agar KSM mengkaji permohonan daripada pemain industri dalam sektor perkayuan, perladangan dan sarung tangan untuk dikecualikan daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas mengenai operasi tersebut, Saravanan berkata, sebanyak 30 premis perniagaan diperiksa bagi mengenal pasti kesalahan di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, kesemua maklumat itu akan disiasat sebelum tindakan diambil jika didapati melanggar peraturan di bawah akta berkenaan.

“Kalau lihat daripada segi penguatkuasaan, di bawah Jawatankuasa Tenaga Kerja (JTK), ia berbeza, kita tidak ambil tindakan terus, sebaliknya maklumat yang dikumpul itu akan disiasat sama ada mereka melanggar SOP yang ditetapkan ataupun tidak.

“Jadi, kita perlu keluarkan kertas siasatan dan jika didapati melanggar kesalahan, baru kita akan ambil tindakan,” ujarnya.

Operasi itu disertai seramai 248 anggota beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).