MALAYSIA

Kementerian Kerja Raya siasat dakwaan kontraktor 'cap ayam' di Aman Putri

Faida Rahim 08/12/2025 | 02:00 MYT
Alexander menegaskan pihaknya akan menyiasat dakwaan penduduk Aman Putri yang mendakwa kontraktor projek jalan raya di kawasan berkenaan sebagai ‘cap ayam’. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan menyiasat dakwaan penduduk Aman Putri, Sungai Buloh, Selangor, yang melabel kontraktor projek jalan raya di kawasan mereka sebagai “cap ayam” susulan mutu turapan jalan yang didakwa tidak memuaskan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya menyiasat dakwaan penduduk Aman Putri tentang kontraktor jalan raya di kawasan tersebut dilabel sebagai "cap ayam" berikutan mutu turapan jalan yang dipersoalkan.
  • Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menegaskan setiap aduan akan diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar masalah serta kemungkinan kegagalan mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan.
  • Penduduk Aman Putri mengadakan himpunan menunjukkan ketidakpuasan terhadap keadaan jalan utama yang rosak teruk sejak tahun lalu serta menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.


Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata setiap aduan akan diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar masalah, termasuk kemungkinan kegagalan mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan.

“Memang sesiapa pun boleh menuduh kontraktor sebagai ‘cap ayam’, tetapi kita perlu siasat terlebih dahulu untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku dan di mana kelemahannya,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya di ibu negara, Isnin.

Menurut beliau, pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan tatakelola yang telah ditetapkan, namun tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir kontraktor yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.

“Kita lantik kontraktor mengikut prosedur yang sah. Namun, ada juga kes terpencil di mana prestasi mereka tidak menepati piawaian,” katanya lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud kelemahan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Terdahulu, kira-kira 30 penduduk Aman Putri berhimpun pada Sabtu lalu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan jalan utama yang menghubungkan Paya Jaras ke Bukit Darah, yang dilaporkan rosak teruk sejak tahun lalu.

Seorang penduduk, Thangarajah Manickam, meluahkan kekecewaan terhadap mutu kerja penurapan semula jalan di kawasan perumahan itu, yang menurutnya tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan menyebabkan jalan cepat rosak.

“Kami bukan menentang kerja-kerja pembaikan, tetapi biarlah dilakukan dengan betul. SOP mereka tidak ikut, sebab itu jalan cepat rosak. Saya anggap kontraktor ini ‘cap ayam’, macam tak tahu buat kerja,” katanya.

Penduduk berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.







#SOP #Alexander Nanta Linggi #kontraktor cap ayam #penduduk Aman Putri