Kementerian Kesihatan sahkan kes JE di Kota Samarahan

Astro Awani
Julai 7, 2017 11:49 MYT
SUBRAMANIAM: Kita tetap akan memantau rapi dan mengambil langkah sewajarnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengesahkan kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) di Kota Samarahan, Kuching melibatkan seorang pelajar 7 tahun sepertimana tersebar di media sosial sejak beberapa hari lepas.
Katanya, beliau menerima laporan tersebut pada Selasa dan telahpun mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri supaya bertindak bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Ini bukan sesuatu yang baharu di Sarawak.
“Tapi kita tetap akan memantau rapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal wabak tersebut, dan memastikan sekiranya ada kes terbaru atau ia hanya satu kes terpencil,” katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Mengenai Sakit Pediatrik Ke-11 di sini hari ini.
Tambah Dr Subramaniam, kemungkinan besar wabak bawaan nyamuk itu kembali di negeri tersebut adalah disebabkan gaya hidup masyarakat setempat.
Surat notis Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bertarikh 4 Julai yang tular di media sosial itu bertujuan untuk menghebahkan tentang kes jangkitan wabak itu di Taman Sentoria, Jalan Stakan, di Kota Samarahan, Kuching, melibatkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun.
Pada masa sama, notis itu juga satu pemberitahuan tentang pemeriksaan status vaksinasi virus JE kanak-kanak bawah 15 tahun oleh Pejabat Kesihatan Negeri yang dilaksanakan dari 24 Jun hingga 8 Julai.
Selain Taman Sentoria, kawasan lain yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut adalah Taman Stakan Waja, Taman Stakan Jaya, Taman Stakan Perdana, Kampung Stakan Melayu, Kampung Pengkalan Kuap, Kuap Cina serta kawasan lain sekitarnya.
#anjing gila #jangkitan #JE #kesihatan #Kuching #media sosial #S Subramaniam