Kementerian Kesihatan akan menambah 500 ambulans bagi hospital dan klinik di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata daripada jumlah itu, 120 ambulans akan diagihkan ke hospital dan klinik di Sabah dan Sarawak.

"Sebanyak 36 ambulans akan diagihkan ke hospital di Sarawak manakala 84 lagi ke Sabah," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara di sini, pada Rabu.

Pada masa ini, beliau berkata jumlah keseluruhan ambulans bagi hospital dan klinik kesihatan sedia ada di Sabah adalah 279.

Sementara itu, menyentuh mengenai projek tempat letak kereta bertingkat di hospital, Dr Hilmi berkata kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan projek rintis di dua hospital iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang, kedua-duanya di Selangor.

"Kerajaan berhasrat membina tempat letak kereta bertingkat secara perkongsian awam-swasta (PPP) dengan kaedah BOT (bangun, guna, serah).

"Sekiranya berjaya, projek ini akan diperluaskan untuk pelaksanaan di mana-mana hospital yang mempunyai masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang sama," katanya.

-- BERNAMA