Kementerian Luar Negeri merujuk kepada beberapa laporan media akhir-akhir ini mengenai rakyat Malaysia menjadi mangsa keldai dadah, terutama sekali di Peru.

Kedutaan Besar Malaysia di Peru sedia maklum mengenai individu-individu ini dan mengikuti perkembangan kes penahanan mereka sejak dari awal lagi.

Dalam kes Azimah dan Suzanna, kedua-dua individu ini mempunyai suami atau pasangan dan anak warga tempatan. Ini menyebabkan kedua-dua mereka dalam dilema untuk meninggalkan Peru, terutama sekali kerana ia melibatkan hak penjagaan anak, kerakyatan dan hal-hal imigresen yang memerlukan perhatian khusus sebelum sebarang keputusan diambil.

Kementerian Luar Negeri sekali lagi menggesa supaya kes-kes keldai dadah ini sekiranya dilaporkan, dibuat secara menyeluruh supaya perkara yang tepat dimaklumkan kepada orang ramai. - BERNAMA