[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Kementerian Luar pantau perkembangan Taufan Podul di Taiwan

Bernama 13/08/2025 | 21:15 MYT
Gambar daripada pihak berkuasa Taitung menunjukkan ombak kuat dan hujan lebat membadai lokasi pelancongan popular di Sansiiantai pada Rabu. - Foto AP
PUTRAJAYA: Kementerian Luar menerusi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) di Taipei memantau rapat perkembangan Taufan Podul yang akan bertemu daratan di Taiwan pada Rabu.

Dalam satu kenyataan media, kementerian itu memaklumkan MFTC sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia di Taiwan bagi memantau keselamatan dan kebajikan mereka.

"Rakyat Malaysia di kawasan yang dijangka terjejas dinasihatkan untuk kekal berada di dalam rumah, mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar melalui MFTC di Taipei turut memantau secara dekat perkembangan selepas Taufan Podul membadai, selain memantau kemungkinan kesan susulan di wilayah lain yang berada dalam laluannya, dan akan memberikan maklumat terkini mengikut kewajaran semasa.

Bagi mendapatkan bantuan konsul, orang ramai boleh menghubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei di Tingkat 8, Bangunan San Ho Plastic, No. 102, Jalan Dun Hua North, Taipei, Taiwan, telefon: +886 972 349 343 atau e-mel: mwtaipei@kln.gov.my.

Menurut kenyataan media itu, sembilan bandar dan daerah, termasuk bandar selatan Kaohsiung dan Tainan, mengumumkan penggantungan operasi kerja dan persekolahan sebagai langkah berjaga-jaga menjelang ketibaan taufan itu pada lewat Rabu.

Pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan langkah pencegahan di beberapa daerah di selatan, termasuk pemindahan penduduk serta pembatalan penerbangan dan perkhidmatan feri bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Media melaporkan Taufan Podul membadai selatan Taiwan pada Rabu selepas mendarat di Daerah Taitung, membawa angin kencang dan hujan lebat yang menjejaskan kehidupan harian serta melumpuhkan pengangkutan.

-- BERNAMA






#Kementerian Luar #Taufan Podul #Taiwan #rakyat Malaysia #bencana alam